Melaka Gateway - Belum ada EIA daripada pemaju
Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih belum menerima laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) daripada KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) untuk projek Melaka Gateway.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, ketika menjawab soalan lisan Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan-Kota Melaka) yang ingin tahu jika projek yang melibatkan penambakan laut itu, sudah menerima EIA.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih belum menerima Laporan Environmental Impact Assessment (EIA) bagi cadangan pembangunan di atas Pulau Satu (PME1) daripada pihak penggerak projek iaitu syarikat KAJ Development Sdn Bhd.
“Berdasarkan dokumen bidang terma rujukan yang telah disahkan pada 30 September 2021, pembangunan marina dan terminal pelayaran (cruise terminal) merupakan salah satu daripada komponen pembangunan di atas Pulau Satu (PME1) yang akan diambil kira oleh penggerak projek dalam kajian EIA tersebut,” kata kementerian itu.
Khoo juga bertanya sama ada projek Melaka Gateway itu bercanggah atau berlebihan (redundant) memandangkan Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan laporan EIA untuk projek terminal pelayaran di kawasan berhampiran oleh Syarikat Far East Sdn Bhd.

Untuk itu, kementerian berkata konsep pembinaan terminal pelayaran untuk projek Far East telah digugurkan berdasarkan ulasan bertulis daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka pada 8 Februari lalu.
“Konsep projek yang dinyatakan dalam laporan EIA bertajuk The Proposed Reclamation of Deep-Sea International Multipurpose Port & Commercial Plot di kawasan bandar XLIII (43) & XLVI (44), Daerah Melaka Tengah, Melaka oleh Far East (Melaka) Sdn Bhd yang telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 26 Mei lalu tidak melibatkan pembinaan terminal pelayaran,” kata kementerian itu.
Bulan lalu, KAJD mengumumkan projek mega Melaka Gateway bernilai RM43 bilion akan diteruskan semula.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya akan mempercepatkan kelulusan lesen operasi Terminal Pelayaran Antarabangsa Melaka (MICT), memandangkan potensinya untuk meningkatkan sektor pelancongan di negeri itu.
NGO alam sekitar Save our Seashores Melaka (SOS Melaka) sebelum ini mendakwa projek Melaka Gateway telah menyebabkan hakisan dan pencemaran di kawasan sekitar.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/82b7bc69cdbebe4a90de832cd0df197c.jpg)
