Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengeluarkan 68,671 nama pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab seperti bertukar alamat, meninggal dunia dan dilucut hak kewarganergaraan.

Manakala 29,450 permohonan baru dan bertukar alamat yang diterima dalam suku tahun pertama 2007, tidak dapat diselesaikan kerana SPR terlibat dengan urusan tuntutan serta bantahan dan terpaksa dibawa ke suku tahun kedua 2007.

Pada masa yang SPR telah memperakui Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku tahun pertama tahun ini pada 29 Mei lalu.

Menurut laporan Bernama, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata perakuan itu dibuat sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan 22(1) Peraturan-peraturan Pilihanraya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang menetapkan Daftar Pemilih Tambahan diperakukan sebelum ia dapat digunakan untuk sesuatu urusan pilihanraya.

"RDPT Suku Tahun Pertama 2007 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac mengandungi 172,127 pemilih yang terdiri daripada 141,553 permohonan pemilih baru dan 30,574 permohonan tukar alamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai urusan tuntutan dan bantahan, beliau berkata, kawasan Parlimen terlibat ialah P.19 Tumpat, P.22 Pasir Mas, P.23 Rantau Panjang, P.26 Ketereh, P.30 Jeli dan P.31 Kuala Krai yang kesemuanya terletak di Kelantan.

"Kawasan Parlimen yang terlibat dengan dengan bantahan pula ialah P.87 Kuala Krau di Pahang; P.19 Tumpat, P.21 Kota Baharu, P.22 Pasir Mas, P.23 Rantau Panjang, P.24 Kubang Kerian, P.25 Bachok, P.26 Ketereh, P.27 Tanah Merah, P.28 Pasir Putih, P.29 Machang, P.30 Jeli, P.31 Kuala krai, P.36 Kuala Terengganu, P.38 Hulu Terengganu, P.39 Dungun dan P.40 Kemaman," katanya.

Kerjasama waris

Kamaruzaman berkata RDPT Suku Tahun Pertama itu akan diwartakan pada 7 Jun.

"Dengan pengesahan RDPT Suku Tahun Pertama 2007 itu, jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara setelah dicantumkan dengan Daftar Pemilih Induk 2006 adalah sebanyak 10,322,956 pemilih," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk membeli DPT Suku Tahun Pertama 2007 oleh mendapatkannya di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya yang berharga RM1,399.60.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kerjasama waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur kepada SPR dalam usaha untuk membersihkan daftar pemilih.

Katanya pemilih berdaftar adalah digalakkan untuk menyemak sebarang maklumat pendataan seperti ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina, kaum dan nombor rumah pemilih dan menghantar pembetulannya ke SPR atau menghantar e-mel ke spr@spr.gov.my.

Sementara itu di Seremban, seramai 157,547 orang atau 26.8 peratus daripada mereka yang berumur 21 tahun ke atas di Negeri Sembilan masih belum mendafar sebagai pemilih hingga Mac lalu.

Pengarah Pejabat Pilihanraya Negeri Sembilan, Abd Latif Baba berkata bagi menggalakkan pendaftaran, program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih akan diadakan di pasaraya Jaya Jusco, Seremban 2 Sabtu ini.