Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata ia akan memberi respons terhadap tindakan timbang tara mahkamah Goldman Sachs United Kingdom (UK) yang dikaitkan dengan 1MDB dan mengulangi bahawa kepentingan rakyat Malaysia adalah yang paling utama.

“Kerajaan Malaysia menafikan semua dakwaan yang terkandung dalam permohonan untuk timbang tara, kerana ia memberi gambaran salah terhadap kelakuan kerajaan Malaysia.

"AGC, bagi pihak kerajaan Malaysia, akan menyediakan maklum balasnya dalam lingkungan undang-undang dan mengulangi bahawa kepentingan rakyat Malaysia adalah yang paling utama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Bloomberg dan Reuters melaporkan bahawa Kumpulan Goldman Sachs memfailkan tindakan timbang tara terhadap Malaysia di mahkamah UK, berhubung perjanjian penyelesaian yang dikaitkan dengan peranan bank itu dalam urusan 1MDB.

Reuters memetik sumber yang menyatakan bahawa tindakan timbang tara telah difailkan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

“Hari ini (semalam), kami memfailkan timbang tara terhadap kerajaan Malaysia kerana melanggar kewajipannya untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya terhadap jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami dan untuk mendapatkan semula aset lain,” seorang jurucakap dilaporkan berkata.

Sebelum ini, dilaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengugut untuk mengeret bank itu ke mahkamah.

Kedua-dua pihak terlibat dalam pertikaian mengenai perjanjian penyelesaian 2020, di mana bank itu telah bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion (RM18.41 bilion) untuk menyelesaikan siasatan jenayah Malaysia berhubung peranannya dalam urusan itu.

Dalam pemfailan kawal selia awal tahun ini, Goldman Sachs berkata ia juga perlu membuat pembayaran interim sekali sebanyak AS$250 juta (RM1.1 bilion) jika kerajaan Malaysia tidak menerima sekurang-kurangnya AS$500 juta (RM2.4 bilion) dalam aset dan hasil menjelang Ogos tahun lepas.

Bank itu berkata kedua-dua pihak mempertikaikan sama ada Malaysia memperoleh semula sekurang-kurangnya AS$500 juta pada Ogos 2022 dan sama ada sebarang bayaran interim perlu dibayar.

Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan AS$4.5 bilion (RM21.2 bilion) telah digelapkan daripada 1MDB.

Dilaporkan bahawa pendakwa raya berkata Goldman membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion (RM30.6 bilion) melalui jualan bon dan memperoleh yuran AS$600 juta (RM2.8 bilion).

AS telah memulangkan dana yang telah diperoleh daripada aset yang dirampas yang didakwa dibeli dengan wang 1MDB.

[Baca berita asal]