Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN dakwa SPRM ugut MP Kuala Kangsar sokong kerajaan
Diterbitkan:  Oct 13, 2023 1:17 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Perikatan Nasional mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mendakwa SPRM mengugut Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid supaya menyokong Anwar atau menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah.

Hamzah Zainudin

“Adalah dipercayai bahawa intimidasi dan ugutan inilah yang digunakan ke atas ahli Parlimen Kuala Kangsar bagi mendapat sokongan agar kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

“Pada 1 Oktober lalu, ahli Parlimen Kuala Kangsar dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah lokasi hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan,” katanya.

Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid

Pemimpin Bersatu itu juga mendakwa kerajaan pada mulanya cuba merasuah Iskandar Dzulkarnain semasa satu perjumpaan di sebuah lokasi di Damansara pada 26 September.

Dakwa Hamzah, ahli parlimen berkenaan telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri.

“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong perdana menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan maklum balas mereka terhadap dakwaan itu.

Menurut Hamzah, Iskandar Dzulkarnain dilihat dalam keadaan tertekan akibat intimidasi yang dikenakan ketika bertemu Pengerusi PN Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Perikatan Nasional pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh ahli Parlimen Kuala Kangsar.

“Kenyataan beliau dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti,” kata Hamzah.

Semalam, Iskandar Dzulkarnain menyuarakan sokongan kepada Anwar, dengan memetik kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasannya.

Dia dilaporkan berkata, keputusannya itu juga bertujuan untuk menilai sama ada perdana menteri ikhlas dan mengotakan janji memberi peruntukan untuk ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan.

Lihat Komen
ADS