Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tentera Zionis beri PBB 24 jam pindahkan rakyat Palestin
Diterbitkan:  Oct 13, 2023 3:58 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dimaklumkan oleh tentera Israel, lewat malam tadi, supaya memindahkan kira-kira 1.1 juta rakyat Palestin di utara Gaza ke bahagian selatan dalam tempoh 24 jam seterusnya.

Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, susulan amaran itu, Gaza dikhuatiri akan menyaksikan serangan darat yang dirancang oleh tentera rejim Israel, dalam ketegangan yang semakin memuncak selepas serangan mengejut Hamas, Sabtu lalu.

"Pegawai PBB di Gaza diberitahu pegawai perhubungan mereka dalam tentera Israel bahawa seluruh populasi di utara Wadi Gaza harus dipindahkan ke selatan Gaza dalam tempoh 24 jam.

“Ini membabitkan kira-kira 1.1 juta penduduk.

“PBB merayu sungguh-sungguh agar sebarang arahan sedemikian, jika sah, dibatalkan bagi mengelakkan tragedi memang sedia ada kini berubah menjadi situasi malapetaka,” kata jurucakap itu yang dipetik oleh Reuters.

Dujarric berkata, PBB menganggap pergerakan seumpama itu agak mustahil tanpa akibat yang memusnahkan kemanusiaan.

Katanya, jumlah penduduk terbabit meliputi hampir separuh daripada keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza, manakala kawasan utara Wadi Gaza pula, termasuk Gaza City adalah bandar terbesar di enklaf itu.

Tambah Dujarric, arahan tentera Israel itu turut meliputi semua kakitangan PBB dan mereka yang berlindung di kemudahan agensi antarabangsa berkenaan, termasuk sekolah, pusat kesihatan serta klinik.

Tentera rejim Zionis tidak memberi sebarang komen mengenai amaran itu, setakat ini. Sebaliknya, kereta kebalnya dikerahkan ke lokasi berhampiran sempadan Gaza sambil berterusan membedil Gaza melalui serangan udara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS