Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skim Tunai Rahmah ditambah baik, kadar maksimum RM3,700
Diterbitkan:  Oct 13, 2023 6:11 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Skim Tunai Rahmah (STR) akan ditambah baik dan ditingkatkan di bawah Belanjawan 2024, seperti yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Seperti yang dicadangkan di bawah bajet baharu itu, jumlah maksimum bantuan di bawah STR dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,700.

Kadar minimum untuk golongan belia yang menerima STR juga akan meningkat daripada RM350 kepada RM500.

“Bayaran pertama STR untuk isi rumah biasanya maksimum RM300. Untuk STR 2024, bayaran pertama STR dinaikkan kepada RM500 yang insya-Allah akan disalurkan sebelum Ramadan,” kata perdana menteri.

Anwar turut mengumumkan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dengan mengkreditkan ke dalam myKad 200 ribu penerima STR sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan.

Sebelum ini, skim Sara hanya meliputi 200,000 penerima dalam tempoh enam bulan.

“Melalui Sara, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit untuk memberi keperluan asas hanya dengan menggunakan myKad.

“Mengambil kira maklum balas yang amat baik, kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat Sara kepada 700 ribu penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan,” kata Anwar.

Dia berkata, STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November ini dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

“Insya-Allah, bayaran pertama pada bulan Februari 2024,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS