Umno bahagian Kota Baru mengakui ada ahli-ahlinya yang keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi menafikan jumlahnya sehingga seramai 1,860 orang.

Ahli Jawatankuasa Umno bahagian, Che Mansor Adabi Che Hassan berkata, pihaknya telah memeriksa perkara itu dan mendapati dakwaan PKR bahawa 1,860 ahli Umno telah menyertai parti pembangkang itu adalah tidak benar.

"Ia merupakan satu propaganda kosong sahaja. Kita mengakui memang ada ahli Umno yang masuk PKR tetapi beberapa orang sahaja.

"Kita juga tahu siapa yang buat kerja ini. Beliau ialah Amri Mustafa, bekas setiausaha pemuda Umno bahagian Kota Baru yang menyertai PKR setelah tidak mempunyai peluang untuk memegang jawatan tinggi dalam Umno.

Che Mansor mendakwa, Amree telah memberi RM300 kepada seorang ahli Umno cawangan Rambai Sari, Arif Mansor, supaya mengetuai majlis penyerahan borang menjadi ahli PKR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu lalu.

Sabtu lalu, 1,860 ahli Umno dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian Kota Baru telah menyerahkan borang permohonan kepada Anwar untuk menjadi ahli PKR dalam satu majlis di sebuah hotel di Kota Baru.

Berikutan itu, Pengerusi PKR Kelantan, Nik Mahmod Nik Hassan mendakwa dua cawangan Umno dalam DUN Tanjong Mas dibubarkan dan dan kira-kira 2,000 lagi ahli Umno di Kota Baru akan meninggalkan parti itu dan menyertai PKR tidak lama lagi.

Tidak puas hati

Sehubungan itu, Che Mansor berkata, pihaknya memang maklum bahawa dua cawangan Umno tersebut memang tidak aktif tetapi tidak dibubarkan seperti yang didakwa itu.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira 40 ahli Umno yang menghadiri majlis penyerahan borang tersebut sebenarnya masih belum mengisi borang memohon menjadi ahli PKR.

"Mereka yang menyertai PKR pula adalah mereka yang mempunyai masalah atau tidak puas hati dengan ketua Umno di cawangan masing-masing," katanya.

Umno bahagian Kota Baru mempunyai lebih 6,000 ahli berdaftar dan merupakan antara kubu kuat Umno di Kelantan. Ia diwakili oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Zaid Ibrahim.

Katanya, beberapa ahli PKR sedang mencari ahli baru terutama di kalangan pengikut Umno tetapi tidak mendapat sambutan kerana orang ramai tidak yakin dengan parti itu.

"Sasaran mereka ialah di kalangan ahli Umno yang tidak puas hati dengan pemimpin Umno, terutama di bahagian Kota Baru," katanya lagi.

Che Mansor berkata, usaha PKR untuk mencari seberapa ramai ahli di kalangan penyokong Umno ada kaitan dengan kegagalan PAS untuk menembusi kawasan Umno di Kota Baru.

Sehubungan itu, katanya, ada kemungkinan PAS menggunakan PKR untuk mendapatkan ahli baru di kalangan ahli Umno di bahagian tersebut.