Iskandar Dzulkarnain sendiri yang nak sokong Anwar, kata Zahid
Tindakan anggota parlimen Bersatu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibuat atas kehendak sendiri, kata Zahid Hamidi.
“...kabinet telah dimaklumkan pagi tadi bahawa ahli parlimen Kuala Kangsar tidak pun menelefon atau bertemu dengan perdana menteri, apatah lagi mengadakan perbincangan dengan perdana menteri, mengenai sokongan beliau kepada kerajaan perpaduan ini tanpa beliau sendiri keluar daripada partinya.
“Jadi perkara ini adalah atas kehendak peribadi beliau sendiri,” kata timbalan perdana menteri.

Zahid berkata demikian kepada pemberita di lobi parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2024 di parlimen hari ini.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut seorang pegawai tertinggi SPRM supaya memberikan sokongan agar kerajaan memperoleh kembali sokongan dua pertiga dalam parlimen.
Dia juga mendakwa Iskandar Dzulkarnain pada mulanya cuba dirasuah seorang Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Anwar pada 26 September.
Semalam, Iskandar Dzulkarnain menyuarakan sokongan kepada Anwar, dengan memetik kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasannya.
Dia dilaporkan berkata, keputusannya itu juga bertujuan menilai sama ada Anwar ikhlas dan mengotakan janji memberi peruntukan untuk anggota parlimen yang menyokong dasar kerajaan.
Anwar bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan yang mensyarakkan anggota parlimen pembangkang menyokong dasar kerajaan bagi mendapatkan peruntukan.
Zahid hari ini bagaimanapun tidak menjawab soalan sama ada terdapat unsur rasuah atau ugutan seperti didakwa Hamzah.
Katanya perkara itu akan dijawab kemudian memandangkan ia tiada mengena dengan belanjawan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dia tidak dapat mengesahkan dakwaan terdapat unsur ugutan dan rasuah dalam langkah itu.
Bagaimanapun dia berharap perkara itu tidak berlaku.
Mengulas itu peruntukkan, dia berkata anggota parlimen pembangkang seharusnya tidak diugut, ditekan atau dinafikan dana.

“Fahami bagaimana cabaran oleh setiap wakil rakyat,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi SPRM dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan maklum balas mereka terhadap dakwaan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/e25564da8fc21d9c87af2409c85beb98.png)
