Khairy Jamaluddin, menantu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menganggap perkahwinan bapa mentuanya dengan Jeanne Abdullah pada Sabtu ini sebagai satu peristiwa amat bermakna kepada keluarga Perdana Menteri.

"Saya, isteri saya Nori, abang ipar saya dan isterinya, gembira dengan berita ini dan menyokong keputusan beliau untuk berkahwin," katanya kepada pemberita ekoran pengumuman Pejabat Perdana Menteri hari ini bahawa majlis akad nikah Abdullah dan Jeanne akan berlangsung di Seri Perdana di Putrajaya Sabtu ini.

Khairy berkata keluarganya telah lama mengenali Jeanne dan amat rapat dengannya.

Beliau juga berkata Abdullah telah mendapatkan pandangan anggota keluarga yang memberi restu, demikian menurut laporan Bernama.

Khairy juga menjelaskan bahawa majlis perkahwinan Abdullah hanya akan dihadiri anggota keluarga terdekat.

Jeanne dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1953 dan merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Beliau mempunyai dua orang anak perempuan, Nadiah dan Nadene.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Assunta ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penghotelan, serta pernah bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan pengurus Kompleks Seri Perdana.

Abdullah, 67, menjadi duda setelah isterinya, Datin Seri Endon Mahmood, meninggal dunia pada 20 Oktober 2005 akibat kanser payudara.

Mereka mempunyai seorang anak lelaki, Kamaluddin dan seorang anak perempuan, Nori.