Kes selesema burung dikesan di tiga kampung di Paya Jaras, Sungai Buloh dan operasi memusnahkan kira-kira 7,000 ekor unggas, termasuk 5,000 ekor itik sedang dijalankan.

Kampung yang terbabit ialah Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Hulu dan Paya Jaras Hilir yang mempunyai kira-kira 12,000 orang penduduk.

Kes tersebut dikesan setelah enam ekor unggas di tiga kampung terbabit ditemui mati minggu lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata bangkai keenam-enam unggas itu telah dihantar ke makmal untuk dianalisis dan disahkan terkena jangkitan selesema burung, demikian menurut laporan Bernama.

Katanya, tindakan memantau kawasan sekitar satu kilometer dari ketiga-tiga kampung terbabit sedang dijalankan oleh Jabatan Haiwan Selangor dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Penduduk kampung yang demam dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera.

Mohd Khir juga meminta penduduk kampung terlibat supaya menyerahkan unggas milik mereka kepada Jabatan Haiwan Selangor untuk dimusnahkan.

Tidak perlu panik

Di Ipoh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong, berkata ia merupakan kes terpencil dan terkawal, dan orang ramai tidak perlu panik kerana tidak terdapat banyak ayam di lokasi terbabit.

"Ladang ternakan ayam komersil terdekat terletak antara 12 km hingga 20 km dari tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata JPH mempunyai cukup pengalaman dalam menangani kes selesema burung sebelum ini dan berkemampuan mengatasi kes terbaru itu.

Ditanya mengenai pampasan, Mah berkata berdasarkan kes selesema burung sebelum ini, kerajaan memang membayar pampasan kepada penduduk yang unggas peliharaan mereka ditangkap untuk dimusnahkan.

Beliau berkata pihak berkaitan di Singapura telah dimaklumkan berhubung kes terbaru tu.