Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp) Mohamed Salleh Ismail menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang memutuskan kerajaan gagal membuktikan sebarang penyelewengan berkaitan pinjaman RM250 juta kepada syarikat itu.

"Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah Taala kerana fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas saya dan keluarga selama lebih 12 tahun, akhirnya terbukti salah.

"Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Oktober oleh hakim Anand Ponnudurai di Mahkamah Tinngi Kuala Lumpur semalam jelas dan nyata membuktikan saya dan ketiga-tiga anak saya tidak bersalah dengan tuduhan-tuduhan yang dilempar kapada kami sejak perbicaraan NFC yang bermula pada 2012, mahupun sebelumnya.

"Walaupun saya telah dihukum terlebih dahulu oleh ‘mahkamah pandangan awam’, Alhamdulillah, pada hari Jumaat penghulu segala hari semalam menyaksikan bahawa perundangan negara telah menegakkan kebenaran dan saya reda dengan ujian yang telah ditimpa ke atas saya dan keluarga," katanya dalam kenyataan media.

Salleh berkata, isterinya Shahrizat Abdul Jalil, yang juga bekas menteri turut menjadi mangsa politik tohmahan dan penganiayaan.

"Bila beliau dengan rela hati meletakkan jawatan dalam kabinet akibat fitnah-fitnah berkenaan pada masa itu, saya juga pasrah," katanya.

Semalam, hakim mahkamah tinggi, Anand Ponnudurai menyampaikan keputusannya berhubung saman kerajaan persekutuan selaku plaintif terhadap NFCorp dan 10 defendan lain, termasuk Mohamad Salleh.

Anand memutuskan bahawa wang pinjaman tidak digunakan secara salah dan tiada pelanggaran kewajipan fidusiari oleh 11 defendan, yang turut termasuk tiga anak Salleh - ketua pegawai eksekutif syarikat Wan Shahinur Izran, dan pengarah Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah.

Mahkamah juga mendapati kerajaan persekutuan melanggar Perjanjian Pelaksanaan (IA) apabila plaintif gagal membina Rumah Sembelih Kualiti Eksport (EQA) dan melanggar Perjanjian Kemudahan Pinjaman (LFA).

Anand menegaskan bahawa adalah tidak menyalahi undang-undang untuk NFCorp menggunakan sebahagian daripada pinjaman untuk melabur dalam hartanah atas nama syarikat, sekaligus menyebabkan syarikat itu tidak melanggar perjanjian pinjaman dan IA.

Semasa membacakan keputusan yang panjang itu, mahkamah sivil mendapati bahawa sasaran projek itu tidak tercapai kerana kegagalan kerajaan membina EQA.

Hakim mengarahkan NFCorp memulangkan RM33.7 juta daripada jumlah pinjaman yang tidak digunakan kepada kerajaan.

Anand juga mengarahkan supaya hartanah pelaburan itu dipindahkan kepada kerajaan.

Mahkamah membenarkan tuntutan balas NFCorp terhadap kerajaan kerana melanggar perjanjian dan membenarkan ganti rugi nominal RM10,000.