Kes Altantuya: DPP ditukar kerana bermain badminton dengan hakim
Timbalan Pendakwaraya (DPP), Salehuddin Saidin yang mengetuai pendakwaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu, dilihat bermain badminton dengan hakim kes tersebut, Datuk Mohd Zaki Md Yasin dan demi kepentingan keadilan, dia digantikan dengan DPP yang lain, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Timbalan Pendakwaraya (DPP), Salehuddin Saidin yang mengetuai pendakwaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu, dilihat bermain badminton dengan hakim kes tersebut, Datuk Mohd Zaki Md Yasin dan demi kepentingan keadilan, dia digantikan dengan DPP yang lain, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Gani berkata memandangkan sensitiviti kes itu, beliau memutuskan untuk menarik keluar Salehuddin daripada mengetuai barisan pendakwaan, selepas perkara itu dibawa kepada perhatiannya Khamis lalu.
Kerana kesuntukan masa hanya tiga hari untuk seorang DPP baru mengambil alih kes itu Gani berkata, beliau tidak pilihan selain meminta masa yang secukupnya untuk menyediakan kes berkenaan.
"Kebimbangan telah dibangkitkan bahawa situasi seperti itu mungkin ditafsir dan dieksploitasi untuk faedah tertentu oleh pelbagai pihak bagi apa jua tujuan yang mungkin menarik persepsi negatif ke atas integriti Pejabat Peguam Negara dan mahkamah dan pelaksanaan perbicaraan secara adil," katanya.
Gani memberitahu Bernama demikian ketika memberi sebab mengapa barisan pendakwaan itu ditukar pada saat-saat akhir. Ekoran itu, kes tersebut yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam Isnin lalu, ditangguh kepada 18 Jun. Salehuddin diganti oleh Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Sejak dua minggu lalu, kata Gani, beliau juga telah melantik dua lagi DPP kanan, Wong Chiang Kiat dan Manoj Kurup dalam barisan pendakwaan dan hanya Salehuddin dikeluarkan dan diganti oleh Tun Abdul Majid, seorang DPP kanan dan berpengalaman.
Gani berkata beliau membuat keputusan itu bagi memastikan tidak timbul dakwaan yang tidak dijangka atau anggapan buruk awam terhadap pegawai-pegawainya dan jabatan serta mahkamah.
Elak persepsi negatif
"Saya perlu menimbangkan hakikat bahawa keseluruhan pentadbiran system keadilan tidak harus dipersoalkan dengan hanya dakwaan atas tanggapan prejudis dan bagi memastikan hak pihak yang terbabit bagi satu perbicaraan yang adil dipertahankan," katanya.
Peguam Negara itu berkata beliau mempunyai keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya dalam integriti dan kredibiliti pegawainya, hakim perbicaraan dan badan kehakiman dalam melaksanakan tanggungjawab mereka secara objektif dan profesional.
"Begitu juga saya tidak sanggup membenarkan persepsi negatif wujud. Keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, tetapi harus dilihat dilaksanakan," katanya.
Isnin lalu, Tun Abdul Majid, Ketua Bahagian Sivil Pejabat Peguam Negara, membuat permohonan kepada Mohd Zaki untuk menangguhkan perbicaraan itu selama sebulan, dengan menjelaskan bahawa barisan pendakwaan baru itu hanya ditugaskan mengendalikan kes berkenaan sehari sebelumnya.
Dua anggota polis, Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 46, dituduh bersuhabat dalam pembunuhan itu.
Kedua-dua anggota polis itu didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Selangor antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Penganalisa politik Abdul Razak Baginda didakwa bersubahat di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi dan 10.05 pagi 18 Oktober tahun lalu.
Cebisan mayat Altantuya ditemui di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 November tahun lalu. Ketiga-tiga tertuduh menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

