Perhimpunan bantah kezaliman di selatan Thai esok
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan satu perhimpunan membantah kezaliman tentera di selatan Thai selepas solat Jumaat esok dan menyerah memorandum bantahan kepada Kedutaan Thailand di ibunegara.
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan satu perhimpunan membantah kezaliman tentera di selatan Thai selepas solat Jumaat esok dan menyerah memorandum bantahan kepada Kedutaan Thailand di ibunegara.
Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen berkata, peserta akan berkumpul di Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum berarak ke Kedutaan Thailand untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pimpinan PAS Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan badan bukan kerajaan (NGO) akan hadir untuk memberikan tekanan kepada Duta Thailand di Malaysia agar memainkan peranan aktif untuk menyekat kezaliman tersebut.
Sehubungan itu, Herman menjemput rakyat menyertai perhimpunan tersebut tetapi mengingatkan bahawa ia adalah perhimpunan yang diadakan secara aman.
"Pembantaian umat Islam di selatan Thailand semakin menjadi-jadi. Tentera Thailand telah memperkukuhkan kedudukan mereka dengan menghantar 30,000 anggota ke wilayah berkenaan.
"Pertukaran kepimpinan negara itu ke tangan junta tentera di bawah Jeneral Surayud Chulanont seakan-akan tidak mengubah apa-apa di selatan Thailand," katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah tentera
Menurutnya, wilayah selatan yang menuntut kemerdekaan mutlak itu semakin bergolak ekoran pertambahan aktiviti tentera yang dilihat cuba menghapuskan pengaruh Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO).
"PULO menuntut kemerdekaan dan wilayah yang tersendiri bagi umat Islam di Selatan negara itu, lantaran sikap buruk dan penindasan kerajaan Thailand terhadap umat Islam di negara itu sejak sekian lama.
"Kerajaan baru Thailand semakin sombong dan mereka kini mengenakan pelbagai sekatan dan kawalan ketat selepas 1,000 orang keluar menunjuk perasaan baru-baru ini ekoran kematian seorang guru wanita berusia 23 tahun yang ditembak mati oleh tentera tanpa sebab," katanya.
Menurut Herman lagi, junta tentera semakin menunjukkan belang mereka bila bercadang menjadikan wilayah selatan Thailand sebagai 'Iraq kecil' dan Perdana Menteri Thailand berjanji untuk menambahkan kekuatan tentera sehinggalah PULO meletakkan senjata.
"Dalam krisis panjang ini, beratus ribu umat Islam telah disiksa dan dibunuh oleh junta Tentera sebelum ini. Justeru itu, kita di Malaysia harus bangkit untuk membantah kezaliman ini," katanya.

