Adalah tidak adil untuk memaksa pemilik telefon bimbit untuk mendaftar telefon mereka kerana ia mencabuli hak peribadi mereka dan menyusahkan pengguna, kata Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa).

Presiden Cassa, Dr Jacob George juga menyifatkan cadangan tersebut sebagai "satu langkah ke belakang".

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mewajibkan pendaftaran hakmilik telefon bimbit bagi mengelakkan kes kecurian telefon yang semakin berleluasa sekarang.

Media melaporkan Ketua Jabatan Teknologi dan Standard SKMM, Ahmad Razif Razmi sebagai berkata, jika dilaksanakan, telefon bimbit akan dikategorikan sebagai hakmilik yang wajib didaftar seperti mana kereta dan motosikal.

"Apabila nombor siri telefon bimbit didaftarkan, dengan bantuan teknologi penggunanya boleh disekat dari jarak jauh. Pada masa yang sama telefon tersebut tidak boleh dijual kepada individu lain," katanya dalam laporan Utusan Malaysia.

Langkah pendaftaran telefon bimbit seumpama itu dilaksanakan secara berkesan di negara-negara maju seperti United Kingdom, Perancis dan Jerman.

Penguatkuasaan mesti cekap

Sehubungan itu, Dr Jacob juga berkata, langkah seumpama itu mungkin berjaya dilaksanakan di United Kingdom dan negara maju yang lain kerana wujudnya penguatkuasaannya yang cekap dan berkesan.

Bagaimanapun, kata beliau, ia mungkin tidak berkesan di laksanakan di negara ini kerana wujudnya gejala rasuah.

"Jadi, tidak hairanlah sistem ini berjaya di England dan negara-negara lain, tetapi mungkin tidak berjaya dilaksanakan di negara ini," tambahnya.

Di England, katanya, mereka yang didapati bersalah dijatuhi hukuman penjara atau lessen perniagaan mereka ditarik balik tetapi undang-undang seperti itu tidak wujud lagi di Malaysia.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan cadangan untuk mendaftar telefon bimbit sebagai sesuatu yang baik tetapi ia akan membeban pengguna jika bayaran dikenakan.

Bagaimanapun, kata Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman, adalah sukar bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan menangkap pencuri telefon bimbit.