Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Dalam Negeri digesa supaya membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai hadiah perkahwinannya.

Ketika membuat gesaan tersebut, Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan berkata, Perdana Menteri boleh berkongsi kegembiraan dan kebahagian beliau itu bersama keluarga tahanan ISA berkenaan.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi (JUHAM), DPP Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami berkata, kini terdapat lebih 100 tahanan ISA yang masih lagi ditahan tanpa bicara di kem Kamunting.

Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, Perdana Menteri akan melangsungkan perkahwinannya dengan Jeanne Abdullah Sabtu depan.

"Mereka menghadapi tuduhan yang masih tidak dapat dibuktikan seperti terlibat dengan KMM, JI dan sebagainya. Ada di kalangan mereka yang telahpun ditahan berpuluh tahun lamanya tanpa dibuktikan bersalah," kata Ahmad Zamri dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penahanan dan penganiayaan itu bukan sahaja berlaku kepada tahanan tersebut tetapi yang lebih menderita ialah isteri, anak-anak dan keluarga mereka yang telah berpisah bertahun-tahun lamanya.

"Isteri dipisahkan tanpa mendapat kasih sayang dan nafkah dari suami manakala anak-anak hidup menderita tanpa belaian kasih sayang seorang bapa.

Beri mereka peluang

Isteri yang dahulunya suri rumah terpaksa berhempas-pulas bekerja hinggakan ada yang terjerumus ke kancah maksiat dan melakukan kerja-kerja yang tidak bermoral semata-mata mendapatkan sesuap nasi untuk menyara hidup anak-anak dan keluarga," tambahnya.

Menurutnya, ada di kalangan ahli keluarga tahanan ISA ini yang ditimpa sakit yang teruk, lumpuh dan ada yang meninggal dunia kesan daripada tekanan dan kesempitan hidup yang dihadapi berpunca dari kezaliman akta tersebut.

Sebagai pemimpin negara Islam dan Persidangan Pertubuhan Negara Islam (OIC), Ahmad Zamri berkata, adalah tidak wajar bagi Perdana Menteri membiarkan rakyatnya hidup menderita dan dizalimi akta yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam dan Piagam Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

Justeru itu, Pemuda PAS WP menggesa agar kesemua tahanan ISA tersebut diberikan peluang untuk hidup bersama keluarga mereka dan mengecapi kebahagian seperti orang lain dan Perdana Menteri sendiri.

"Mereka haruslah dibebaskan dengan segera jika kerajaan tidak dapat membuktikan mereka bersalah atau dibawa ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan kesalahan mereka mengikut lunas undang-undang dan diberikan keadilan yang sewajarnya," katanya.

Ahmad Zamri berkata,penggunaan ISA haruslah dimansuhkan segera kerana ia zalim serta meragut hak asasi rakyat.

"Penindasan dan kezaliman ini haruslah dihentikan segera dan perkahwinan Perdana Menteri haruslah dijadikan sebagai titik-tolak untuk beliau berubah dan lebih bersikap prihatin dengan rakyat marhain," katanya.