Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev mendakwa letupan di Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza adalah sebagai "jenayah perang yang jelas".

Medvenev dalam satu kenyataan di aplikasi Telegram turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat bertanggungjawab berhubung apa yang terjadi itu.

"Serangan yang mengerikan ke atas hospital di Gaza adalah jelas merupakan jenayah perang," kata Medvedev seperti dilapor agensi Anadolu.

"Tanggungjawab terakhir untuk tindakan itu terletak pada mereka yang secara sinis mendapat untung daripada peperangan di negara-negara yang berbeza dan di benua yang berbeza.

"Mereka yang dengan sembrono mengagihkan jumlah wang yang besar untuk senjata, memenuhkan kompleks industri ketenteraan mereka.

"Yang secara palsu mengisytiharkan misi global mereka untuk kononnya melindungi nilai demokrasi Amerika Syarikat," katanya.

Lebih 500 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al-Ahli Baptist pada Selasa, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra.

Rakaman video di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan di sekitar kawasan hospital.

Menurut seorang wartawan Anadolu, ribuan rakyat Palestin berada di hospital tersebut ketika bangunan itu diserang.