Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) sedang menjalankan siasatan termasuk menemuramah penduduk kampong terbabit untuk mengesan punca tercetusnya wabak wabak selesema burung di Kampung Paya Jaras, di Sungai Buloh.

"Tidak terdapat tasik di kawasan berhampiran. Kami masih tidak tahu bagaimana kawasan ini dijangkiti selesema burung," kata Ketua Kawalan Penyakit JPH, Dr Kamarudin Isa.

"Buat masa ini sukar untuk menentukan punca wabak itu tetapi kami sedang menyiasat," katanya.

Beliau berkata, JPH tidak menerima sebarang laporan serupa dari ladang ternakan lain, tetapi menasihatkan penternak ayam itik supaya memantau dan melaporkan segera jika mereka mendapati ada perkara luar biasa berlaku pada ternakan mereka.

Menurut laporan Bernama, wabak terakhir selesema burung berlaku pada Februari tahun lalu di Setapak dekat sini diikuti dengan beberapa kampung di Perak pada bulan Mac dan negara diisytiharkan bebas daripada selesema burung pada Jun tahun lalu.

Setakat ini tiada kes jangkitan penyakit itu pada manusia di negara ini.

Menurut Dr Kamarudin, lebih banyak ayam di kampung-kampung di Sungai Buloh dimusnahkan hari ini berikutan meletusnya wabak selesema burung di Kampung Paya Jaras Hilir, Sabtu lalu.

Gerakan pemusnahan

Beliau berkata, pihaknya telah menambah petugas untuk menjalankan pemusnahan itu sebagai langkah pencegahan membendung virus berkenaan daripada merebak ke kawasan lain.

"Kami telah menambah petugas kepada kira-kira 100 orang supaya pemusnahan itu boleh dijalankan siang dan malam. Kami menjangkakan lebih banyak ayam dimusnahkan hari ini," katanya sambil menambah, 1,359 ekor ayam dimusnahkan semalam.

Kuarantin telah dikenakan dalam kawasan lingkungan 10km dari kampong ituu dan sekatan polis turut diadakan di kawasan berkenaan, katanya.

Selain Kampung Paya Jaras Hilir, tiga lagi kampung Kampung Paya Jaras Hulu, Kampung Paya Jaras Dalam dan Kampung Kubu Gajah terletak dalam lingkungan 1km dari kawasan terbabit.

"Kami sedang memantau perkembangan di semua kampung berkenaan. Kami

juga melarang ternakan dari kampung itu dibawa keluar dalam apa cara sekalipun," katanya.