Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC dijangka bentang laporan pengurusan Covid-19 pada 30 Okt

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dijangka membentangkan laporan berhubung pengurusan wabak Covid-19 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 30 Okt ini.

Ia merangkumi isu vaksin luput tempoh hayat, peralatan ventilator tidak dapat digunakan dan lebihan peralatan perlindungan diri (PPE).

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin mengesahkan perkara tersebut dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

"PAC telah selesai mengadakan mesyuarat penyediaan laporan berhubung pengurusan wabak Covid-19 pada 16 dan 17 Oktober 2023.

"Isu ini dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2021. PAC telah mengadakan lima prosiding dengan memanggil saksi.

"Malah, isu ini turut didebatkan oleh ramai ahli Dewan Rakyat ketika membahaskan LKAN semasa mesyuarat kedua, penggal kedua, parlimen ke-15 pada 6 Jun. PAC dijangka membentangkan laporan ini pada 30 Oktober 2023," katanya.

Katanya, antara mereka yang memberi keterangan adalah bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi, bekas ketua setiausaha KKM Chen Chaw Min, bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan wakil Pharmaniaga Bhd.

Sebelum ini, LKAN 2021 mendedahkan bahawa semakan audit yang dilakukan mendapati telah berlakunya pembaziran sebanyak RM825.98 juta melibatkan pengurusan wabak Covid-19.

Laporan itu juga mendedahkan sebanyak 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan KKM tidak dapat digunakan.

Laporan audit turut mengesan lebihan alat PPE yang ketara iaitu 3.08 juta pasang sarung kasut dan 0.84 juta helai sut PPE. Selain itu, sebanyak 1.10 juta dos vaksin telah luput tempoh jangka hayat antara satu hingga 212 hari.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parimen Masjid Tanah berkata bahawa PAC mengalu-alukan orang awam tampil ke depan sekiranya mempunyai maklumat yang boleh membantu prosiding.

"Kami di pihak PAC, kami mengalu-alukan orang awam ataupun mana-mana pihak sekiranya mempunyai apa-apa maklumat terhadap sebarang perkara yang dibangkitkan oleh PAC untuk membantu kami," katanya.

Lihat Komen
ADS