Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagi GPS menang percuma di PRK DUN Jepak, kata Fadillah
Diterbitkan:  Oct 19, 2023 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap menjadi pilihan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebaiknya calon GPS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan, diberi kemenangan percuma.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin DUN Jepak akan kekal milik GPS pada PRK itu, sekiranya ada pertandingan di mana bukan sahaja menang tetapi juga menang bergaya.

“Jadi siapa nak bertanding, tidak payahlah. Bagi kita menang percuma. Buang duit sahaja. Simpan duit, simpan tenaga. Tunggu pilihan raya yang lebih besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit (MPOCC) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), di Putrajaya hari ini.

Semalam, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Iskandar Turkee, sebagai bakal calon GPS bagi PRK DUN Jepak, yang perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip dari GPS, pada 15 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon untuk PRK tersebut, dengan 31 Okt sebagai tarikh pengundian awal dan 4 Nov sebagai hari pengundian.

Fadillah berkata Iskandar, 54, merupakan seorang yang berkredibiliti, dan pada usia yang cukup matang serta berpengalaman luas sebagai penjawat awam, dapat memberikan berkhidmat terbaik kepada masyarakat terutamanya di DUN Jepak yang merupakan kubu kuat GPS itu.

Beliau berkata GPS akan tetap ‘turun padang’ sekiranya ada pertandingan, bagi memastikan calon GPS itu bukan sekadar menang tetapi menang dengan bergaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS