Ketua Pemuda PAS yang baru dilantik, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata kepimpinan parti itu hari ini perlu berdepan dengan cabaran yang sangat berat.

Katanya, ini kerana mereka perlu berdepan dengan gabungan “orang menipu dan orang jahat”.

“Kita dipersembahkan dengan tata kelola yang bengkok, yang bercakap lain, dan buatnya lain. Dia kata orang lain boleh, orang lain kata dia boleh. Orang kata dia koyak, hang kata kami boleh, kami balas hang koyak, hang sekat.

“Orang jahat ini, bila bergabung dengan orang jahat, malah lebih jahat dari sebelum ini. Orang yang menipu bergabung dengan orang jahat, mereka lebih tipu, lebih jahat daripada sebelum ini.

“Mereka itulah sedang kita hadapi sekarang, maka kita tak boleh berlengah, tak boleh lemah dan tak boleh longgar,” katanya ketika berucap dalam ucapan penangguhan Muktamar Pemuda PAS di IDCC, Shah Alam, Selangor malam tadi.

Afnan Hamimi juga mendakwa pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal menonjolkan tatakelola yang baik apabila menggunakan jentera kerajaan ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

"Beliau (Anwar) menggunakan jentera kerajaan bagi kempen politik dan ini bukan satu tatakelola yang baik.

"Beliau mengarahkan jentera kerajaan mengikut parti politik. Jentera kerajaan dah ada GO (general order) dan ada tatacaranya," katanya.

Afnan Hamimi juga menegaskan, tatakelola yang baik adalah memisahkan parti politik dengan jentera kerajaan.

Katanya, negeri yang menunjukkan tatakelola yang baik telah membuatkan rakyat tertarik memilih Perikatan Nasional (PN) yang seterusnya membawa gabungan itu memerintah di empat buah negeri pada PRN .

"Ia disebabkan model SG4 (empat negeri ditadbir PN) diperkenalkan oleh PN. Insya-Allah kalau kita akan bawa model ini di peringkat Persekutuan.

"Sekiranya Kerajaan Pusat sekarang ini menunjukkan tatakelola yang baik, kita tidak mempunyai masalah untuk mereka menerajui negara," tegasnya.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata disebabkan itu kepimpinan Pemuda PAS berikrar untuk meluruskan tata kelola sedia ada.

“Pemuda PAS hari ini perlu meluruskan tata kelola supaya mereka mentadbir dalam mengikut acuan yang betul, yang sepatutnya, mengikut apa yang Allah SWT perintahkan, mengikut apa yang rakyat nak.

“Semua ikatan kita, semangat kita bersatu jitu dan padu untuk mendepani mereka. Waktu ini waktu kita bekerja, hang jaga, Pemuda PAS akan rempuh apa jua halangan,” katanya.