Kira-kira 1,500 penunjuk perasaan berarak dari Jalan Tun Razak menuju ke Kedutaan AS di Kuala Lumpur tengah hari ini untuk menunjukkan solidariti mereka dengan rakyat Palestin dan mengutuk Israel atas pencerobohannya terhadap Gaza.

Perhimpunan bermula kira-kira 2 petang selepas solat Jumaat di menara Tabung Haji, dan disertai ramai tokoh berpengaruh termasuk ahli politik terkemuka dan pemimpin NGO.

Antara yang berucap untuk menunjukkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.

Para peserta perhimpunan melaungkan banyak slogan semasa perarakan untuk menunjukkan kemarahan mereka terhadap Israel kerana menyerang hospital yang membunuh ratusan mangsa beberapa hari lalu.

"Hidup Palestin! Down, down, Israel!

"USA bangsat!" laung peserta semasa berarak ke kedutaan AS.

Seorang jurucakap perhimpunan dalam ucapannya mengkritik negara itu kerana menyokong Israel.

"USA dan Israel, sedar kamu tak layak dipanggil manusia.

"Kamu juga tak layak dipanggil haiwan kerana anda lebih teruk. Kamu syaitan," katanya.

Para penunjuk perasaan bagaimanapun hanya berarak sehingga di sekatan jalan polis kira-kira 200m dari Kedutaan AS.

Perbalahan kecil tercetus apabila segelintir peserta mahu melepasi barisan polis namun mereka dihentikan oleh polis dan penganjur, yang meminta mereka menghormati pihak berkuasa yang bertugas menjaga keselamatan.

Suasana cerah bertukar mendung, disusuli hujan agak lebat. Namun ia tidak mematahkan semangat peserta dan perhimpunan diteruskan selama kira-kira sejam dengan beberapa ahli politik dan wakil NGO menyampaikan ucapan.

'AS, Britain pengganas'

Mahathir dalam ucapannya menggelarkan Amerika Syarikat, Britain dan negara lain yang terus menyokong Israel sebagai "pengganas".

Dia berkata gelaran itu sesuai kerana mereka tidak menghiraukan tindakan Israel dan terus memberikan sokongan.

"Ia adalah kezaliman luar biasa apabila Israel menyerang hospital, (tindakan) yang ditegah undang-undang antarabangsa.

"Tetapi Amerika, Britain dan beberapa negara lain menyokong serangan terhadap hospital di Gaza. Ini bermakna mereka juga tergolong sebagai kumpulan terrorist (pengganas).

"Kerana sudah tentu mereka yang menyerang hospital semasa perang adalah terrorist.

"Oleh sebab itu kita berhimpun hari ini untuk menunjukkan betapa bencinya kita terhadap orang seperti Amerika dan Britain yang tidak peduli (tindakan) menyerang hospital kerana persahabatan mereka dengan Israel," katanya lagi.

Sementara itu, Khairy, Mukhriz dan beberapa wakil NGO dibenarkan masuk ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyerahkan memorandum.

Difahamkan memorandum itu, yang ditujukan kepada duta Amerika Syarikat ke Malaysia, diterima oleh seorang pegawai kedutaan.

Memorandum itu antara lain mengecam serangan Israel ke atas orang awam serta Amerika Syarikat yang disifatkan bersubahat dalam jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis.