Hadi letakkan diri 'serba bersih' dalam mengejar kuasa politik - Saifuddin
Rakyat boleh menilai kepimpinan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang meletakkan diri "serba bersih" bagi mengejar kuasa politik, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
Jelasnya, lebih teruk lagi Abdul Hadi memperlekeh lawan dengan sehina-hinanya melalui dalil agama yang ditafsirkan secara sempit.
"Tatkala pimpinan negara sedang bertungkus-lumus memulih ekonomi, membantu rakyat dan menjauhi rasuah, Abdul Hadi memilih melontar tohmahan tanpa sikap tanggungjawab.
“Abdul Hadi belum pernah menunjukkan kepada rakyat idea, jawapan dan kaedah parti Islam PAS terhadap permasalahan negara.
"Rakyat sedang mengikuti Muktamar PAS dan ucapan Abdul Hadi diikuti. Apa pendekatan Abdul Hadi dan PAS terhadap, kemiskinan rakyat, pemulihan ekonomi, tatakelola pemerintahan, perpaduan dan kestabilan politik, melegakan kenaikan kos sara hidup dan mengawal inflasi.
“Ini semua isu-isu yang jauh daripada jangkauan dan keupayaan Abdul Hadi dan PAS," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, PAS menolak kemungkinan parti itu akan menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disifatkan penuh dengan kekotoran.
Abdul Hadi berkata, kerajaan Anwar penuh dengan kekotoran dan PAS tidak mahu 'menyucikan' parti-parti dalam kerajaan itu.
"Kamu boleh lihat kerajaan Pakatan Harapan (PH), siapa dalam dia... nak suci macam mana?
“Banduan pun ada, bekas perasuah pun ada, kluster mahkamah pun ada... macam mana kami nak ikut?
"Kalau kita nak bersihkan najis, tak boleh masuk dalam tong najis," kata Abdul Hadi pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-69 di IDCC, Shah Alam.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan Abdul Hadi sebagai pemimpin yang cakapnya sentiasa berubah.
Katanya, Abdul Hadi telah mengarahkan anggota PAS menarik undi bukan Islam dalam ucapannya di muktamar yang kini sedang berlangsung di Shah Alam.
"Membaca ‘amanat’ terbaru Abdul Hadi mengingatkan saya tentang tohmahan beliau terhadap pengundi bukan Melayu. Pada Ogos tahun lepas, beliau mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan kumpulan 'majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara'.
"Nampaknya Abdul Hadi sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah beliau label sebagai perosak negara.
“Sejak dari dulu Abdul Hadi terkenal dengan sikap yang tidak konsisten dalam berkempen. Hari ini cakap lain, esok cakap lain," katanya dalam satu kenyataan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/836700c83ea18f365584594d3f83f632.jpg)
