Lebih 2,000 ahli Umno berhimpun di luar Masjid Negara di Kuala Lumpur tengah hari tadi bagi menggesa agar bekas perdana menteri Najib Razak diberikan pengampunan diraja.
Kumpulan itu yang terdiri daripada sayap pemuda dan gerakan mahasiswa diketuai Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, lapor FMT.
“Keadilan untuk Najib dinafikan selepas pertukaran peguamnya dan beliau tidak diberi masa oleh Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan rayuannya.
“Orang lain boleh dapat kenapa bukan Najib?,” katanya dipetik portal berkenaan semasa perhimpunan itu.

Peserta perhimunan itu dilapor memakai baju-T putih dan melaungkan slogan ‘Pulangkan Najib’ bagi menyatakan sokongan terhadap bekas presiden Umno itu.
Menurut Akmal, petisyen meminta pengampunan Najib telah menerima lebih sejuta tandatangan setakat ini.
Dia berkata mereka sedang menunggu tarikh daripada Istana Negara untuk mengemukakan petisyen tersebut.
Kira-kira 15 minit selepas perhimpunan, polis tiba untuk menghalang peserta tetapi acara diteruskan tidak lama selepas itu. Perhimpunan itu bagaimanapun berakhir seperti diarahkan polis.
Semalam, Malaysiakini melaporkan terdapat gerakan untuk mengumpul tandatangan mahasiswa bagi menyokong petisyen membebaskan Najib.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelwengan dana SRC International Sdn Bhd.
Umno telah melakukan usaha untuk membebaskan Najib, termasuk memohon pengampunan diraja untuk bekas ahli parlimen Pekan itu.
