Sebuah gerakan dikatakan sedang mengumpul tandatangan mahasiswa bagi menyokong petisyen untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak.
Perkara itu dimaklumkan oleh beberapa orang pemimpin mahasiswa yang enggan namanya didedahkan.
Seorang pemimpin mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan dia mendapat maklumat mengenai gerakan itu, namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.
"Saya ada dengar daripada kawan-kawan saja. Tapi sejauh mana kebenaran tak pasti," katanya kepada Malaysiakini.
Manakala seorang lagi pemimpin mahasiswa di sebuah universiti awam di Lembah Klang turut memaklumkan perkara sama.
"Memang ada gerakan kumpulkan tandatangan, tapi macam tidak agresif sangat di sini," katanya.
Sebelum itu pemilik akaun X Injang membangkitkan pertanyaan sama ada benar terdapat gerakan mahasiswa sedang mengumpul tandatangan bagi memohon pembebasan Najib.
Dia turut memuat naik bantahan sesetengah pihak berhubung perkara itu serta sokongan sekumpulan mahasiswa kepada Najib di mahkamah baru-baru ini yang disiarkan di sebuah portal berita.
Pada 14 Okt lalu, sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan Pulangkan Najib mensasarkan untuk mengumpul sebanyak 1 juta tandatangan petisyen bagi membebaskan Najib untuk dipersembahkan ke Istana Negara.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan itu mempunyai kaitan dengan gerakan yang dikatakan mengumpul tandatangan mahasiswa.
