Israel terus mengganas di Semenanjung Gaza
Israel terus membedil Gaza melalui serangan udara awal manakala pesawatnya menyerang selatan Lubnan semalaman.
Reuters yang memetik media Palestin melaporkan serangan Israel tertumpu di tengah-tengah dan utara Semenanjung Gaza.
Serangan ke atas sebuah rumah berhampiran kem pelarian Jabalia, di utara Gaza, membunuh beberapa rakyat Palestin dan mencederakan yang lain, kata laporan media.

Agensi berita WAFA pula menyebut tidak kurang 400 orang terbunuh di seluruh Semenanjung Gaza selepas tentera Israel melancarkan serangan udara dalam tempoh 24 jam lalu.
Situasi itu sebagai ‘pengeboman paling dahsyat’ sejak 7 Oktober lalu apabila sekurang-kurangnya 25 serangan udara Israel menyasarkan kawasan penempatan di Gaza.
Kebanyakan serangan juga menyasarkan penduduk awam tanpa sebarang amaran. Golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas dilaporkan paling banyak terkorban.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan di Gaza berkata sekurang-kurangnya 4,600 orang terutama orang awam sudah terbunuh dalam pengeboman balas tanpa henti di Gaza, susulan serangan Hamas.
Lebih 14,000 lagi dilaporkan cedera.

Israel turut memotong bekalan makanan, air, elektrik dan bahan api ke wilayah berpenduduk padat dengan 2.4 juta orang, sekali gus mencetuskan kemungkinan berlaku malapetaka kemanusiaan berskala besar.
Puluhan ribu tentera Israel turut dikerahkan ke sempadan Gaza menjelang serangan darat yang dijangkakan 'tidak lama lagi'.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/e7579c41fdf2295b8c949323d6fa127e.jpg)
