Tun Dr Mahathir Mohamad mengucap tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bakal melangsungkan pernikahannya dengan Jeanne Abdullah esok.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berharap Abdullah akan hidup bahagia dengan pilihannya itu.

"Dia (Abdullah) memanglah orang yang kehilangan isteri harus berkahwin dan saya ucap tahniah dan saya berdoa dia hidup bahagia," kata Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu pemberita demikian selepas upacara menyambut kepulangan Pasukan Merdeka de Everest 2007 di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, demikian menurut laporan Bernama

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Rabu lalu bahawa Abdullah, 67, akan melangsungkan perkahwinan dengan Jeanne, 53, esok di Seri Perdana.

Majlis akad nikah itu akan berlangsung secara sederhana dan akan dihadiri oleh anggota keluarga terdekat saja.

Sementara itu, majlis akad nikah Perdana Menteri dengan Jeanne Abdullah akan berlangsung tengahari esok di Seri Perdana.

Akad nikah tengahari esok

Ia diberitahu oleh Perdana Menteri ketika memperbetulkan ucapan Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Tan Sri Abdul Aziz Yusof di majlis anugerah perkhidmatan cemerlang kementerian itu di Putrajaya hari ini mengenai masa akad nikah tersebut.

"Tengah hari," kata Abdullah apabila mendengar Abdul Aziz menyatakan majlis perkahwinan itu akan diadakan pagi esok.

Abdul Aziz bagi pihak warga kementerian mengucapkan tahniah kepada Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Beliau kemudian membacakan dua rangkap pantun berbunyi:

Mentari Menyinar Bulan Bercahaya

Tanda Gembira Menerima Berita

Pak Lah Bahagia Kami Pun Suka

Selamat Sejahtera Sepanjang Masa

Teman Berbicara Bergurau Senda

Wanita Dicinta Puan Jeanne Abdullah

Kepada Allah Kami Berdoa

Bahagia Gembira Bersama Pak Lah

Abdullah ketika berucap pula berkata beliau tidak bercadang untuk menjawab pantun itu sekarang bagi mengelak pelbagai tafsiran.

"Saya akan jawab pantun itu kemudian," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.