Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi bantu Cina: Bukan semasa 13 Mei, tersilap maklumat - Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memohon maaf atas kesilapan fakta ketika mendakwa ada keluarga Cina yang dibantu oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1969.

Ketika dihubungi Malaysiakini, dia pada mulanya berkata mendapat maklumat itu terus daripada Abdul Hadi.

Bagaimanapun, selepas semakan semula, dia menjelaskan bahawa fakta itu tersasar.

Menurut fakta, katanya, kisah itu sebenarnya berkaitan datuk kepada Abdul Hadi yang melindungi seorang individu berbangsa Cina.

Jelas Tuan Ibrahim, kejadian itu bukan ketika rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 tetapi ketika Perang Dunia Kedua.

"Saya semak semula kenyataan presiden bahawa datuknya (datuk Abdul Hadi) pernah melindungi seorang Cina sewaktu Perang Dunia Kedua... bukan semasa 13 Mei. 

“Maaf ada kesilapan maklumat,” kata anggota parlimen Kubang Kerian, Kelantan, kepada Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim tidak memperincikan kejadian tersebut semasa berceramah sempena Muktamar PAS ke-69 di Shah Alam pada 21 Okt lalu.

Perang Dunia Kedua berlangsung dari tahun 1939 hingga 1945. Sepanjang tempoh itu Tanah Melayu diperintah oleh Jepun.

Ketika pemerintahan Jepun, orang Cina di Tanah Melayu mendapat layanan lebih keras daripada tentera Jepun susulan serangan konflik yang melanda kedua-dua negara di Asia Timur sebelumnya.

Kenyataan dibuat Tuan Ibrahim itu dilihat sebahagian daripada naratif yang cuba diketengahkan PAS dalam rangka mereka memikat undi bukan Melayu seperti diarahkan Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya.

Tuan Ibrahim mendakwa terdapat keluarga Cina berlindung di kediaman Hadi sewaktu insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Semakan Malaysiakini mendapati, Abdul Hadi yang lahir pada tahun 1947 berumur 22 tahun pada masa itu.

Pada tahun rusuhan kaum itu berlaku Abdul Hadi melanjutkan pendidikan peringkat ijazah sarjana muda syariah di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. 

Bagaimanapun tidak jelas dia berangkat ke tanah suci itu pada tahun berapa.

Bapa ahli parlimen Marang itu, Awang Mohamad Abdul Rahman, merupakan tokoh agamawan dan aktivis Hizbul Muslimin, parti Islam pertama di Tanah Melayu, yang diharamkan British.

Parti itu diharamkan selepas selepas dikaitkan dengan kegiatan “radikal” kumpulan nasionalis kiri seperti seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sayap kanannya Angkatan Pemuda Insaf (Api).

Semakan Malaysiakini mendapati tidak banyak maklumat diperolehi berkaitan bapa Abdul Hadi atau datuknya. 

Lihat Komen
ADS