Proton silap singkir Mahaleel, kata Dr M
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah satu kesilapan bagi pengeluar kereta nasional itu, Proton, menyingkir bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah satu kesilapan bagi pengeluar kereta nasional itu, Proton, menyingkir bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff.
Beliau yang juga Penasihat Proton berkata, ini memandangkan Mahaleel berjaya membawa keuntungan sebelum ini.
Dr Mahathir berkata demikian semasa ditanya mengenai kerugian berterusan yang dialami oleh Proton, demikian menurut laporan Bernama.
Proton mengalami kerugian sebelum cukai tahun kewangan penuh sebanyak RM619.9 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, yang mencerminkan persekitaran operasi yang suram bagi pembuat kereta nasional itu.
Khazanah Nasional Bhd, cabang pelaburan kerajaan, memiliki kira-kira 43 peratus Proton dan baru-baru ini ia berkata rundingan sedang berlangsung dengan Volkswagen dan General Motors Corp.
Katanya, kerajaan perlu terus melindungi Proton bagi memastikan identitinya sebagai pengeluar kereta nasional tidak hilang,
"Ini tugas kerajaan yang lebih berkuasa, kalau kerajaan tak nak sokong Proton, matilah Proton," katanya kepada pemberita selepas mengalu-alukan pasukan ekspedisi Merdeka de' Everest 2007 di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Ketika ditanya sama ada Proton benar-benar memerlukan rakan teknikal, bekas Perdana Menteri itu berkata: "Sudah tentu, Proton memerlukan rakan teknikal tetapi saya tidak tahu kenapa rundingan (antara Proton dan Volkswagen) gagal."

