Singapura telah menahan empat anggota Jemaah Islamiyah, termasuk seorang yang didakwa oleh republik itu, telah "menjalani latihan di Malaysia".

Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura menahan mereka antara November tahun lalu dan Februari tahun ini.

Mereka yang ditahan itu ialah Ishak Mohamed Noohu, Mohamed Hussain Saynudin, Mohamed Yassin Mohamed Nooh dan Ibrahim Mohd Noor.

"Mohamed Yassin telah terbabit memungut derma untuk JI. Dia juga telah menjalani latihan JI di Malaysia," kata Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya, Mohamed Yassin meninggalkan Singapura pada Ogos 2001 untuk meneruskan pengajian Arab di luar negara dan sengaja menetap di luar negara beberapa tahun kemudiannya bagi mengelak pihak berkuasa Singapura.

Bekas pensyarah

Menurut laporan Bernama, republik itu juga menahan seorang lelaki Singapura berumur 28 tahun yang dianggap radikal yang merancang untuk melaksanakan kegiatan jihad di Afghanistan.

Menurut kenyataan itu lagi, lelaki tersebut, Abdul Basheer Abdul Kader, bekas pensyarah, ditahan Februari lalu di bawah ISA.

Abdul Basheer, katanya lagi, belajar dan mengamalkan bidang perundangan selepas tamat belajar dan kemudian menjadi pensyarah di sebuah institusi pendidikan.

"Sejak akhir 2004, dia telah membentuk fikirannya bahawa dia perlu melancarkan `jihad militan' di mana orang Islam sedang diserang. Pemikiran beliau dibentuk menerusi kefahaman radikal yang beliau perolehi menerusi Internet," kata kementerian tersebut.

Pada Oktober 2006, Abdul Basheer meninggalkan Singapura menuju ke sebuah negara Timur Tengah.

"Dia merancang untuk tinggal di sana selama dua tahun, mempelajari bahasa Arab supaya dia boleh berkomunikasi dengan pejuang Mujahidin," kata kementerian berkenaan.

Dia kemudian ditangkap dan dihantar kembali ke Singapura "sebelum dia sempat menjalankan agenda ganasnya".