Peguam: Kenakan lebih pertuduhan terhadap lelaki amuk di kuil
Peguam Negara digesa mengenakan lebih daripada satu pertuduhan terhadap seorang lelaki yang didakwa menyerang sebuah kuil Hindu di Matang, Perak pada 18 Oktober lalu.
Penasihat Undang-undang Parti Kemajuan Malaysia (MAP), S Karthigesan berkata, selain mendakwa pelaku atas pertuduhan memiliki senjata, pertuduhan khusus yang berkaitan dengan tempat-tempat ibadah, iaitu Seksyen 295 dan Seksyen 297 Kanun Keseksaan, juga harus dikenakan terhadap tertuduh.
Seksyen 295 berkaitan dengan tindakan "membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan", yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun.
Manakala Seksyen 297 merujuk kepada pencerobohan tempat ibadah yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun.
Karthigesan berkata dengan mengenakan pertuduhan-pertuduhan yang dianggap lebih relevan, menunjukkan pejabat Peguam Negara lebih serius dalam mengendalikan kesalahan berkaitan dengan agama kaum minoriti.
"Saya mendesak Peguam Negara mempertimbangkan semula tuduhan pilihan terhadap lelaki ini dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan," katanya.
Pada 22 Okt lalu, seorang buruh, Firdaus Taufek, 22 tahun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dua batang tukul di Kuil Sri Mangalanayagi Amman, Matang, antara jam 7 pagi dan 7.30 pagi pada 18 Oktober.
Dia dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan sebatan.
The Star melaporkan pada 18 Oktober bahawa tertuduh memecahkan dan merosakkan sebuah patung di kuil itu dan ditangkap di rumahnya beberapa jam kemudian.
Timbalan Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata saksi mendakwa tertuduh hanya memakai seluar dalam ketika kejadian dan positif dadah jenis ganja.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/1c2d27c3329fbe0b010903d4cd4a20be.jpg)
