• Dikemas kini dengan berita penuh.

Bersatu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada anggota parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid kerana pendiriannya yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga antara lain membincangkan kedudukan ahli parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

“Lembaga Disiplin parti telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti,” kata Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Hamzah Zainudin

Iskandar Dzulkarnain pada 12 Oktober lalu mengumumkan sokongan itu atas alasan mahu menguji sama ada Anwar ikhlas memberikan peruntukan kepada anggota parlimen yang menyokong dasar kerajaan.

Sehari selepas itu Hamzah mendakwa Iskandar Dzulkarnain  diugut oleh pegawai SPRM. Tuduhan ini bagaimanapun dinafikan badan pencegahan rasuah itu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain juga semalam berkata tiada laporan diterima berhubung dakwaan ugutan terhadap Iskandar Dzulkarnain.

Sejak pengumuman mengejutkan itu, Iskandar Dzulkarnain langsung tidak menghadiri sidang parlimen, termasuk ketika Anwar membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober.

Malaysiakini cuba menghubungi sejak dua minggu lalu melalui panggilan telefon tetapi tidak diangkat. Pesanan mesej juga tidak dibalas.

Perhimpunan agung 23 Nov

Sementara itu, Hamzah juga mengumumkan parti itu akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunannya pada 23 hingga 25 November depan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Katanya, perhimpunan itu akan bermula dengan perasmian sayap-sayap Bersatu pada 23 November, diikuti perhimpunan agung pada 24 dan 25 November.

Jawatankuasa induk perhimpunan itu akan dipengerusikan Naib Presiden Radzi Jidin, tambahnya.