RM2 sehala Itulah kadar tol yang akan dikenakan ke atas setiap kenderaan yang mengguna Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) mulai tengah malam Khamis ini (14 Jun).

"Mengapa dikenakan RM2? (Ini) oleh kerana syarikat itu telah belanjakan RM640 juta untuk membina empat kilometer jalan dalam terowong, surcaj di negara lain yang ada terowong lebih tinggi seperti di Hong Kong," kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu yang turut mengumumkan nama laluan itu sebagai Terowong Bestari.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, hanya kereta dan teksi sahaja dibenarkan melalui terowong itu memandangkan kedudukan silingnya yang agak rendah.

Terowong itu, katanya, merupakan alternatif jika pengguna mahu sampai cepat ke destinasi mereka kerana laluan dari Jalan Tun Razak ke Tol Sungai Besi masih ada, demikian menurut laporan Bernama

Samy Vellu juga berharap orang ramai tidak menyalahkan terowong SMART apabila banjir melanda ibu negara semalam kerana terowong berharga RM1.9 bilion itu masih belum beroperasi sepenuhnya kecuali untuk laluan kenderaan sahaja.

Jika mahu mengatasi banjir, katanya, kerajaan harus membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk membaiki sungai yang ada di ibu negara, termasuk mendalamkan sungai hingga ke laut.

Banjir semalam, katanya, turut melanda ibu pejabat MIC yang mengakibatkan kerosakan pada sistem elektrik bangunan, lif, tempat meletak kereta dan dewan, membabitkan kerugian RM800,000.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Keizrul Abdullah berkata, sistem pengurusan banjir terowong itu hanya akan berfungsi sepenuhnya pada Julai depan dengan siapnya kolam tadahan air di Kampung Berembang dan Taman Desa.