Ribuan menyertai Himpunan 10k Solidariti Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap keganasan Israel di Gaza.
Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden PAS, Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, selain Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin dan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.
Orang ramai mula berhimpun kira-kira jam 1.45 tengah hari di Jalan Binjai, Persiaran KLCC, dan berarak ke Jalan Tun Razak, yang berdekatan dengan bangunan Kedutaan AS.
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden dipetik Astro Awani berkata lebih 10,000 menyertai perhimpunan itu.
"Himpunan kali kedua ini dibuat setelah rejim zionis semakin ganas dengan mengebom hospital dan membunuh orang tidak bersalah... dan kita berikan mesej ini kepada mereka supaya mereka dapat fahami bahasa kita.

"Kita mahu Palestin itu dibebaskan dan diberikan hak . Israel perlu keluar dari Palestin secara terhormat, kalau tidak kita tak tahu apa akan berlaku," kata Ahli Parlimen Alor Setar itu kepada pemberita selepas protes itu.
Gambar dan video yang dirakam menunjukkan orang ramai mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk anti-Zionis susulan serangan berterusan rejim itu ke atas Gaza.

Semalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menerima resolusi yang menyeru gencatan senjata segera selain bantuan kemanusian serta perkhidmatan penting sampai ke Semenanjung Gaza tanpa sebarang halangan.
Resolusi yang ditaja Jordan itu diluluskan oleh Perhimpunan Agung, dengan 120 undi menyokong, 14 menentang, dan 45 berkecuali.
