Adalah tidak munasabah untuk mula memungut tol di Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) mulai tengah malam Khamis ini (14 Jun) kerana ia hanya akan berfungsi sepenuhnya Ogos ini.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) melihat kegagalan perencanaan projek SMART yang dikelola oleh Kementerian Kerjaraya itu sebagai punca bencana banjir yang melanda ibu negara lewat semalam.

Oleh itu, AMK mendesak Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Vellu bertanggungjawab penuh dan tampil menjawab permasalahan pengurusan banjir hasil dari kegagalan projek SMART.

"Sekiranya tidak ada jawapan yang munasabah diberikan di dalam tempoh yang terdekat, AMK tidak teragak-agak untuk menggerak sokongan rakyat secara besar-besaran untuk menghantar memorandum bantahan rasmi kepada Samy Vellu", kata Ketua AMK Shamsul Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dengan kegagalan SMART yang jelas terlihat hari ini, maka adalah tidak munasabah tol mula dikutip kerana projek itu hanya akan berfungsi sepenuhnya Ogos ini.

Kadar tol

"Kini hanya laluan lebuhraya SMART yang berfungsi sepenuhnya, manakala penyelenggaraan pengurusan banjir hanya akan beroperasi pada Ogos," jelas beliau.

Menurut Shamsul lagi, Menteri Kerjaraya telah mengumumkan tol untuk laluan SMART adalah RM2 sehala.

Kadar tersebut, katanya, adalah bertepatan dengan pendedahan yang pernah dibangkitkan oleh pimpinan AMK pada 28 Februari lalu.

"Jelas terbukti bahawa pendedahan AMK mengenai konsesi tol SMART ini adalah benar dan segala dakwaan Samy Vellu berkenaan kesahihan pendedahan ini adalah jelas terbatal," tegasnya.