PAS dakwa penduduk KL tidak diberi amaran banjir
PAS Wilayah Persekutuan mendakwa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, gagal memberikan amaran awal kepada penduduk kawasan yang dilanda banjir besar malam tadi.
PAS Wilayah Persekutuan mendakwa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, gagal memberikan amaran awal kepada penduduk kawasan yang dilanda banjir besar malam tadi.
"Kenaikan paras air di Sungai Gombak, Sungai Batu dan Sungai Kerayong telah diketahui lebih awal, tetapi amaran awal tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak, sehinggalah beberapa kawasan telah ditenggelami air," kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (WP), Mohamad Nor Mohamad.
Dalam kenyataan bersamanya dengan Ketua Dewan Pemuda PAS WP, Kamaruzaman Mohamad, beliau berkata kejadian seumpama itu, telah tiga kali berlaku sejak Kuala Lumpur menjejaki abad ke-21 dan dianggap terburuk pada abad ini.
PAS Wilayah juga, katanya, kecewa pengumuman Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu sebelum ini bahawa Projek Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) telah siap sepenuhnya.
"Kenyataan Samy telah dinafikan oleh Datuk Ir Keizrul Abdullah yang mengakui sistem pengurusan banjir terowong itu hanya akan berfungsi sepenuhnya Julai depan apabila siapnya kolam tadahan air di Kampung Berembang dan Taman Desa," katanya.
Mohamad Nor turut mempertikaikan pengumuman kadar bayaran tol sebanyak RM2 untuk pengguna Terowong SMART, sedangkan rakyat tertanya-tanya sama ada terowong yang belum siap sepenuhnya itu selamat digunakan.
"Bagaimana jika berlaku banjir lagi ? Atau apakah yang akan berlaku sekiranya ada keretakan atau runtuhan seperti mana projek-projek mega yang lain?" soalnya.
Tangani masalah
"Penduduk kota belum lagi habis membersihkan sisa lumpur tinggalan banjir semalam tetapi Menteri Kerja Raya sudah mengumumkan kutipan tol RM2 mulai khamis ini," katanya.
Di samping itu, katanya, kesesakan tetap berlaku dihujung tol SMART di Jalan Sungai Besi berhampiran Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Justeru, PAS Wilayah mengesa kerajaan mengambil inisiatif bijak dalam menangani dua masalah utama rakyat di Kuala Lumpur banjir dan kesesakan jalan.
"Ia adalah dua isu penting yang telah lama berlaku. Projek tebatan banjir, mendalamkan sungai dan menyiapkan terowong SMART ini perlu dilakukan dan disiapkan segera," tambahnya.
Selain itu, katanya, laluan keluar dari Terowong SMART perlu dibesarkan dan tol seharusnya ditutup kerana prasana rakyat itu telah dibayar oleh rakyat melalui cukai pendapatan mereka setiap tahun dan cukai-cukai lain, termasuklah cukai jalan.
"PAS Wilayah juga berharap agar JPS, Jabatan Kerjaraya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat bekerjasama bagi mewujudkan sistem amaran banjir bagi membantu mengurangkan kesan sampingan banjir seperti kehilangan nyawa dan harta benda," katanya.

