Muda meraih RM1.12 juta untuk bertanding di 19 kerusi pada enam pilihan raya negeri, Ogos lalu, kata presiden parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Daripada jumlah yang diperoleh melalui kempen "Muda Hustle", sejumlah RM858,252 telah dibelanjakan.

“Sasaran Muda adalah untuk mengumpul RM1.5 juta untuk bertanding di 19 kerusi pada enam pilihan raya negeri.

“Kita menganjurkan kira-kira 50 program termasuk menjual otak-otak, perlawanan futsal dan menjual barangan Muda untuk tujuan itu,” kata Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar pada sidang media hari ini.

Menurutnya, sebahagian besar dana itu (RM1.08 juta) diraih oleh pimpinan pusat parti.

Menurut Syed Saddiq, lebih RM601,000 adalah dalam bentuk tunai, manakala kira-kira RM478,000 dalam bentuk barangan kempen, seperti bendera parti, kain rentang, tiang bendera dan lain-lain.

Secara purata, wang yang dibelanjakan untuk setiap 19 kerusi DUN yang ditandingi oleh Muda berjumlah RM45,000 - jumlah yang kecil berbanding perbelanjaan parti lain, katanya.

Syed Saddiq berkata, pecahan lengkap perbelanjaan itu akan diperincikan dalam laporan kewangan parti, yang akan diaudit oleh dua firma audit. Baki dana daripada kutipan akan dibawa ke hadapan untuk pilihan raya akan datang.

[Baca berita penuh]