Sebuah badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berpandangan bahasa Melayu sepatutnya dikekalkan kerana sememangnya bahasa itulah yang sebenarnya diguna oleh rakyat Malaysia. terutama di kalangan masyarakat bawahan.

"Dengan mengungkap sebutan bahasa Melayu , setiap rakyat akan mengetahui yang dipakai ialah bahasa asal sebuah kaum bumiputera yang telah dipersetujui sejak kemerdekaan dicapai di negara ini," kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Di samping itu, katanya, Perlembagaan juga mengungkap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan menukar istilah itu sudah tentu bercanggah, bukan sahaja dari segi lafaz, malah juga dari segi makna bahasa itu sebenar.

"Walaupun medium bahasa Inggeris digunapakai dalam banyak tempat di negara ini , namun tidak ada pihak yang mendakwa ini adalah bahasa British.Yang diguna dan dikenali adalah bahasa Inggeris iaitu bahasa bangsa Inggeris.

"Ini kerana semua bahasa adalah berkait dengan sebuah bangsa, bukan dengan sebuah negara. Dengan mengaitkan isu bahasa dengan isu kemerdekaan sesebuah negara , sudah tentu mengekalkan bahasa itu yang diperjuangkan amat wajar dan perlu dijamin dalam makna dan maksudnya yang asal," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azmi juga bertanya apakah telah ada kajian yang membuktikan dengan mengguna Bahasa Malaysia maka rasa kepunyaan dan pemilikan akan lahir di kalangan rakyat.

"Sudah adakah juga kajian yang mendapati penggunaan bahasa Melayu tidak dirasai dimiliki oleh orang bukan Melayu dan dengan itu, perlu ditukar dengan sebutan bahasa Malaysia?" katanya.

Sehubungan itu, katanya, Teras berpendapat isu yang sepatutnya ditangani ialah bagaimana bahasa Melayu dapat diperluaskan penggunaannya sehingga setiap rakyat memahami dan menegaskan kembali kontrak sosial yang telah diputuskan ketika kemerdekaan.

'Tuntutan pihak tertentu?'

Mohd Azmi berkata, pihak yang berkaitan tidak harus melihat isu ini secara cetek dengan hanya memberi pendapat umum bahawa bahasa Malaysia lebih diterima oleh rakyat berbanding bahasa Melayu.

"Teras berpendapat, ketika keputusan dibuat oleh pihak kerajaan untuk menukar bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu beberapa tahun sebelum ini, kesepakatan antara ahli politik dan pakar bahasa telah mencapai persetujuan bahawa yang betul ialah bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia.

"Secara disiplin sosio-linguistik pun bahasa Melayu adalah tepat, bukan bahasa Malaysia. Kami kesal bagaimana keputusan ini ditukar kembali tanpa ada rujukan dan perbincangan dengan ahli bahasa.

"Adakah pihak kerajaan lebih melayani tuntutan pihak tertentu untuk mencairkan identiti bahasa itu? Adakah bahasa Melayu yang telah diterima tanpa sungutan oleh kebanyakan rakyat, dirombak semula hanya atas alasan perpaduan , padahal tidak ada bukti menunjukan orang bukan Melayu rasa kurang selesa dengan bahasa Melayu.

Sehubungan itu, katanya, Teras menuntut pihak kerajaan menarik balik keputusan tersebut dan tidak meneruskan perubahan istilah berkenaan.

"Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai keputusan kabinet menukar istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia adalah tidak wajar, tidak selaras dengan istilah yang diguna dalam Perlembagaan Perkara 152 dan tidak menepati maksud sebenar bahasa itu sendiri.

"Bukan sahaja ini adalah suatu langkah berundur kebelakang dari segi kedudukan makna bahasa Melayu itu sendiri , malah ia akan melenyapkan kepentingan bahasa itu dikenali sebagai bahasa yang mempunyai asal dari kaum bumiputera bangsa Melayu di negara ini," tambahnya.

Menurut Mohd Azmi lagi, alasan istilah bahasa Malaysia dapat menimbulkan rasa dimiliki oleh rakyat Malaysia adalah tidak tepat kerana semenjak ia digunapakai sebagai bahasa Melayu. tidak ada masalah yang dikaitkan dengan rasa kurang patriotik atau kurang integrasi antara kaum.