Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak pernah orang masuk penjara sebab pasang cermin gelap - Menteri
Diterbitkan:  Nov 2, 2023 3:06 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

PARLIMEN | Kementerian Pengangkutan menjelaskan belum pernah ada mana-mana pemilik kenderaan dipenjarakan atas kesalahan menggunakan cermin gelap.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (PH Seremban) menjelaskan salah faham di kalangan pengguna media sosial berikutan kenyataan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di mana orang ramai mengambarkan seolah-olah individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dihukum penjara.

"Itu sebenarnya tak betul. Memang dari segi undang-undang, sekiranya mana-mana pihak yang tidak mengikuti peraturan jalan raya, apabila mereka diberikan peluang untuk kompaun, mereka tidak bayar kompuan, maka mereka boleh dibawa ke mahkaah.

"Itu adalah general untuk semua peraturan, bukan dari segi penggunaan cermin gelap sahaja.

"Tetapi pada hakikatnya apa yang dilaksanakan adalah kompaun,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Loke berkata dia juga telah mengesahkan dengan pihak JPJ bahawa tidak pernah ada kesalahan penggunaan cermin gelap yang dibawa ke mahkamah.

"Maksudnya tak timbul soal bahawa kalau dia menggunakan cermin gelap akan dipenjarakan.

“Saya harap penjelasan ini dapat memberikan penerangan kepada orang ramai, bahawa tidaklah sampai kerajaan hendak memenjarakan orang sekiranya menggunakan cermin gelap," katanya.

Pada 6 Okt lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama.

JPK dalam satu kenyataan berkata, bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Pada 12 Okt lalu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak dilapor berkata pihaknya menerima banyak rungutan dan bantahan berhubung hukuman berkenaan.

Orang kaya boleh mohon cermin gelap

Sementara itu Loke berkata kerajaan memberi kelonggaran kepada pemilik kenderaan untuk menggunakan cermin gelap dengan kaedah 70 peratus ketelusan cahaya bagi cermin hadapan, dan 50 peratus bagi cermin tepi sisi kiri dan kanan pemandu.

Manakala cermin sisi bahagian belakang serta cermin belakang juga boleh digelapkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Loke berkata golongan kaya juga pula menggunakan cermin gelap sepenuhnya seperti mana kenderaan 'VIP' atas faktor keselamatan dengan bayaran sebanyak RM5,000 selama dua tahun.

Bagaimanapun katanya, permohonan perlu dikemukakan dan tapisan akan dibuat terlebih dulu sebelum kelulusan diberikan.

"VIP seperti menteri dibenarkan menggunakan cermin gelap sepenuhnya. Atau mana-mana pihak yang rasa ada isu keselamatan boleh memohon (penggunaan cermin gelap sepenuhnya). Orang kaya ada isu keselamatan, takut kena culik (boleh mohon)," katanya.

Katanya permohonan itu akan ditapis oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis terlebih dulu sebelum kebenaran diberikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS