Israel mendakwa tentera mereka telah berjaya mengepung Bandar Gaza, di Semenanjung Gaza, susulan serangan balas mereka ke atas Palestin selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Wartawan Aljazeera melaporkan bahawa ribuan orang awam kini terkepung di Bandar Gaza, dengan ada yang cuba melarikan diri ke selatan walaupun tentera Israel mengasak masuk ke bandar itu. Ini menjadikan perjalanan keluar dari bandar terbesar Gaza itu berbahaya.

Seorang doktor di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza pula menyifatkan keadaan di sana sebagai “melampaui malapetaka”.

Bandar di utara Semenanjung Gaza itu menjadi tumpuan Israel dalam melancarkan serangan besar-besaran bagi memusnahkan markas dan kubu Hamas.

Reuters memetik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai berkata mereka kini di puncak pertempuran dan tidak akan berhenti sehingga 'Hamas musnah sama sekali'.

"Kami mencapai kejayaan yang mengagumkan dan berjaya melepasi pinggir bandar Gaza. Kami sedang maju ke depan," katanya. Netanyahu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata pasukannya sudah menyelesaikan tindakan mengepung Bandar Gaza yang menjadi kubu Hamas.

Bagaimanapun media tempatan melaporkan kemaraan tentera Israel itu disekat oleh tentera Hamas melalui serangan hendap dari rangkaian terowong bawah tanah di wilayah itu.

Malah, ketua jurutera tentera Israel, Brigedier Jeneral Iddo Mizrahi, mengakui mereka  masih berdepan risiko membabitkan serangan periuk api dan jerangkap samar.

"Hamas nampaknya sudah melakukan persiapan dengan baik," katanya.

Rakaman video yang diedarkan pula memamparkan tentera Hamas dan pejuang Jihad Islam bersekutu keluar dari terowong untuk menyerang kereta kebal, sebelum memasuki semula kawasan itu.

Menerusi  satu video berasingan dari Hamas pula, seorang pejuang kelihatan muncul dan meletakkan bahan letupan pada sebuah kereta kebal.

Letupan juga kedengaran selepas dia berlari kembali untuk bersembunyi di terowong dan dirakamkan melancarkan peluru berpandu anti-kereta kebal ke arah tentera Israel.

Sebelum ini, Israel menyatakan sudah kehilangan 18 askar dan membunuh puluhan pejuang Hamas sejak operasi darat diperluaskan bermula Jumaat lalu.

Sementara itu, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Obeida, berkata jumlah kematian Israel di Gaza adalah jauh lebih tinggi daripada yang diumumkan tentera.

"Tentera Israel hanya akan kembali dalam keadaan dibawa dalam beg mayat hitam," katanya yang dipetik oleh South China Morning Post.