PKR bukan ahli Liberal International, kata Fahmi
PKR menafikan dakwaan bahawa ia menjadi ahli kepada Liberal International susulan gabungan parti-parti politik liberal dunia menyatakan solidariti dengan Israel.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa parti itu bukan ahli Liberal International.
“Kebelakangan ini, terdapat percubaan terancang untuk mengaitkan PKR dengan satu pertubuhan gabungan parti-parti iaitu Liberal International.
“Saya mengesahkan bahawa PKR bukan dan tidak pernah menjadi ahli atau anggota Liberal International,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fahmi, yang juga menteri komunikasi dan digital, menegaskan PKR bersolidariti sepenuhnya dengan rakyat Palestin.
“PKR juga mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis Israel yang terus menzalimi, menekan dan membunuh rakyat Palestin,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan sebuah klip tular di X, yang disiarkan di laman web Liberal International yang memaparkan PKR yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim disenaraikan sebagai "parti ahli pemerhati" di Asia.
Semakan di laman web itu juga mendapati Gerakan yang juga adalah sekutu gabungan Perikatan Nasional juga disenaraikan sebagai "parti ahli pemerhati" Liberal International.
Malaysiakini telah menghubungi Presiden Gerakan Dominic Lau untuk mendapatkan ulasannya mengenai dakwaan itu.
Pada 7 Oktober lalu, biro Liberal International berkata ia bersolidariti dengan rakyat Israel dan mengutuk serangan terhadap orang awam serta mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri.
Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan pada tahun 1947. Ia adalah menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/cff19122d8b6b6cd0d2d4b7688b43649.jpg)
