Kerajaan harus memberi keutamaan kepada isu air sebagai sebahagian daripada isu keselamatan negara, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Charles Santiago.

Charles berkata hal itu penting bagi negara dalam menghadapi ketidaktentuan perubahan iklim.

“Belanjawan 2024 memperuntukkan RM1.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur bagi tiga negeri Sabah, Labuan, dan Kelantan. Bagaimanapun, pembinaan 5 kapal tentera laut LCS menelan belanja RM11.9 bilion walaupun kita tidak berperang.

"Jika sektor air mendapat RM11.9 bilion, keuntungan yang besar - untuk mengurangkan NRW (Air Tidak Terhasil), mendorong ke arah penggunaan air tebus guna, pembersihan sungai, dan membangunkan infrastruktur air lain - dapat dicapai," kata Charles dalam ucapan yang disampaikan pada forum Air & Sumber Air anjuran ENSEARCH semalam.

Bekas Ahli Parlimen Klang itu menambah bekalan air yang mencukupi dapat menjadi faktor penarik utama bagi pelabur asing dan perniagaan baru.

"Syarikat sedia ada meninggalkan Malaysia kerana sumber air yang tidak mencukupi. Dengan menjadikan air sebagai keutamaan keselamatan negara, kita melindungi negara daripada ketidaktentuan perubahan iklim.

"Keputusan sedemikian untuk menjadikan air sebahagian daripada kebimbangan keselamatan negara terutamanya adalah kerana masa semakin suntuk dalam menghadapi keadaan cuaca yang melampau," kata Charles.

Selain itu dia menambah syarikat juga mesti memberi tumpuan kepada pemuliharaan air dan meningkatkan keutamaan air dalam strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Pengumpulan air hujan, penggunaan air tebus guna dan jentera air yang cekap, serta tiada penggunaan plastik semuanya boleh membantu memastikan air digunakan dengan cekap. Kita perlu menjimatkan air seperti mana kita menjimatkan tenaga," ujarnya.