Pemimpin pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan seorang bekas pemimpin parti itu di Kedah bahawa PKR kehilangan sokongan menjelang pilihanraya umum akan datang.

Menjawab dakwaan yang dibuat oleh bekas ketua PKR bahagian Baling, Radzi Md Lazim semalam, Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata: "Itu pandangannyakita tidak boleh buat apa-apa."

"Bagi saya, ia bukan suatu berita yang penting kepada Parti Keadilan. Ia tidak mewakili pandangan 80,000 ahli (parti)," katanya kepada malaysiakini.

Semalam, ketika bercakap kepada malaysiakini, Radzi membidas kepimpinan pusat PKR yang didakwanya terlalu mengutamakan golongan "VIP" dalam parti itu.

Ekoran sikap tersebut, dakwa Radzi, pucuk pimpinan parti telah mengenepikan pemimpin peringkat bahagian yang berjuang dalam parti sejak PKR ditubuhkan pada 1999.

Radzi mendakwa, bahagian Baling telah dibubarkan apabila kira-kira 90 peratus ahli jawatankuasanya (AJK) meletak jawatan dan sebahagian besar daripada mereka telah keluar parti minggu lalu.

Beliau juga mendakwa sembilan bahagian lagi kini hanya menunggu masa untuk dibubarkan ekoran perbincangan mengenainya telahpun dibuat sebelum berlangsungnya kongres nasional PKR di Seremban akhir bulan lalu.

Radzi menyebut contoh pemilihan Khalid, seorang tokoh korporat yang rapat dengan Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok baru-baru ini.

Khalid bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, sambil menambah peletakan jawatan Radzi tidak akan menjejaskan persiapan parti itu untuk menghadapi pilihanraya umum yang diramalkan bakal diadakan tidak lama lagi.

'Guna saluran betul'

Beliau juga membidas Radzi kerana tidak menggunakan saluran parti yang betul untuk membangkitkan isu tersebut.

"Dia mempunyai setiap hak untuk membincangkan (perkara itu) di peringkat bahagian dan melalui biro politik," tambahnya.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua juga menafikan dakwaan Radzi itu.

Beliau juga berkata, soal pencalonan Khalid di Ijok tidak pernah menjadi isu langsung.

"Saya tidak fikir kita perlu mengambil serius (dakwaan tersebut). Khalid dipilih kerana beliau anak jati kawasan tersebut, dan bukannya kerana latarbelakang korporatnya," tambahnya.

Khalid turut mempertahankan pencalonannya di Ijok, dengan berkata, ia merupakan keputusan sebulat suara parti.

Menurutnya, pemilihan calon untuk bertanding di Ijok telah dibincangkan selama dua minggu sebelum keputusan muktamad dibuat.

Khalid berkata, seingat beliau 'ia membabitkan proses yang agak panjang".

Dalam pilihanraya kecil Ijok pada 28 April lalu, Khalid ditewaskan calon Barisan Nasional, K Parthiban dengan majoriti 1,850 undi.

Khalid juga menjelaskan, bahagian PKR Baling tidak dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana gagal mengadakan mesyuarat, seperti yang didakwa oleh Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul semalam.

Beliau juga berkata, parti itu belum lagi mengenalpasti ketua PKR bahagian Baling yang baru.

"Kita perlu mendapatkan pandangan daripada kepimpinan peringkat negeri terlebih dahulu," katanya. Berita asal