Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata rakyat negara itu tidak akan menjadi pelarian di mana-mana negara.

Sebaliknya, tegasnya, mereka lebih rela untuk mati dan bertekad mempertahankan bumi Palestin daripada dibawa ke negara lain sebagai pelarian.

Walid Abu Ali

"Kami tidak akan sekali-kali menerima untuk menjadi pelarian di mana-mana negara pun.

“Kami meminta Malaysia membantu kami mendapatkan hak untuk kembali (ke Palestin), kami mahu tinggal di Palestin dan kami mahu mati di Palestin," katanya pada sidang media di Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur, hari ini.

Walid menjawab soalan berkaitan cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa, Wong Chen kepada kerajaan supaya membawa rakyat Palestin yang terkesan di sempadan Rafah untuk diberikan bantuan di Malaysia.

Pada sidang media di Parlimen, 19 Okt lalu, ahli Parlimen PKR itu juga dilaporkan berkata Malaysia sepatutnya menghantar pasukan ke sempadan Rafah bagi membantu pelarian Gaza dan membawa mereka ke Malaysia.

Katanya, jika Malaysia menerima pelarian  Gaza, ia akan memberi keutamaan kepada individu yang paling rentan, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Dia juga menjelaskan bahawa langkah itu adalah untuk memberikan perlindungan sementara kepada pelarian dan bukan memberikan mereka kewarganegaraan atau dijadikan sebagai pemastautin tetap.

Mengulas lanjut, Walid berkata,  rakyat Palestin di Malaysia adalah berbeza daripada mereka yang berada di wilayah Palestin seperti di Gaza, Tebing Barat ataupun Rafah.

"Mereka merupakan pelarian dari Arab dan Syria dan mereka dipaksa meninggalkan Arab dan Syria akibat peperangan yang berlaku di sana.

"Jika mereka mempunyai peluang dan layak (eligible) untuk kembali ke Palestin dari Arab dan Syria, mereka tidak akan datang ke Malaysia kerana Malaysia bukan ahli dalam Statut Rom dan bukannya negara untuk pelarian (host country).

"Sebab itu saya katakan, walaupun kami amat menghargai sokongan yang diberikan, Malaysia tidak akan pernah menjadi rumah untuk pelarian Palestin," katanya.

Walid turut memetik peristiwa Nakbah yang berlaku pada 1948 yang menyaksikan hampir 700,000 rakyat Palestin menjadi pelarian dan hampir 80 peratus tanah di negara itu ditawan lalu menyebabkan Palestin terbahagi kepada Tebing Barat dan Semenanjung Gaza seperti yang dilihat hari ini.

"Kami telah menderita pada tahun 1948 dengan menjadi pelarian, kami menderita lagi pada tahun 1967, rakyat Palestin, sama ada di Gaza, di Tebing Barat, mahupun di Jerusalem, kami tidak akan terima untuk menjadi pelarian lagi," katanya.

Walid menambah, sokongan Malaysia terhadap Palestin tidak boleh dipersoalkan kerana ia adalah antara sokongan besar yang diterima sejak berdekad lamanya.

“(Saya percaya) Malaysia akan terus memberi sokongan kepada Palestin. Apa yang Israel sedang promosi sekarang hanyalah satu bentuk propaganda kerana ketika ini semua rakyat Palestin sudah bersatu.

“Malaysia boleh memainkan peranan meyakinkan komuniti antarabangsa supaya kesengsaraan dihadapi oleh rakyat Palestin dapat dinoktahkan. Kami amat memerlukan sokongan semua untuk hentikan kekejaman Israel.

“Kami memperjuangkan kemerdekaan dan kebebasan daripada Israel, sokongan Malaysia daripada segi politik dan ekonomi amat dihargai,” tambahnya.

Dia juga  berkata, apa yang dilakukan oleh Israel ketika ini adalah kemusnahan besar atau 'holocaust' ke atas penduduk Palestin.

Justeru, apa yang perlu dilakukan bagi membantu rakyat Palestin adalah melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan membuka koridor kemanusiaan bagi membolehkan bantuan memasuki Gaza.

"Ketika ini, kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza menderita kerana ketiadaan makanan, minuman, bahan bakar dan elektrik.

"Hospital dan keseluruhan sistem kesihatan di Gaza juga runtuh," katanya.