Lima orang lagi, termasuk sepasang suami isteri, adalah yang terbaru dimasukkan ke hospital semalam untuk pemantauan selesema burung selepas mengalami gejala demam serta mempunyai sejarah kontak dengan ayam mati.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata suami isteri itu yang berumur 53 dan 45 tahun dari Felda Selanca 5, Rompin dimasukkan ke wad isolasi Hospital Segamat, Johor.

"Mereka demam, selesema dan batuk pada 5 Jun lalu dan mempunyai kontak dengan ayam mati semasa menanam ayam tersebut di kebun mereka di kampung Tok Cik Dol, Tanah Merah, Kelantan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, dua beradik berumur 1 tahun 9 bulan dan 10 bulan dari Jalan Gambang, Kuantan turut dimasukkan ke Hospital Kuantan untuk pemantauan semalam selepas mengalami demam, batuk dan selesema, demikian menurut laporan Bernama.

Menurutnya, mereka dimasukkan ke hospital memandangkan salah seorang abang mereka didapati mempunyai kontak dengan ayam mati di bawah kediaman mereka.

Dr Chua berkata, seorang budak lelaki berumur 11 tahun juga dimasukkan ke wad isolasi, Hospital Sungai Buloh semalam selepas dirujuk oleh sebuah klinik swasta di Sungai Buloh.

"Kesemua mereka berada dalam keadaan yang stabil," katanya,

Sehingga semalam, beliau juga berkata, kelima-lima mereka merupakan sebahagian daripada 21 kes, yang dikategorikan di bawah penyiasatan yang telah dimasukkan ke wad isolasi hospital-hospital di beberapa negeri.

Disah negatif

"Enam belas daripadanya telah disahkan negatif terhadap jangkitan virus Avian Influenza," katanya.

Secara kumulatif, jelasnya, 768 rumah dilawati dan 4,608 penduduk di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh ditemuduga dan diperiksa sehingga semalam, sejak jangkitan virus Avian Influenza di kalangan ayam dikesan di kawasan itu 5 Jun lalu.

Kesemua rumah dan penduduk terbabit tinggal dalam lingkungan 300 meter kawasan wabak.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dalam kenyataan berasingan berkata siasatan ke atas ladang di Kampung Padang Mukim Gajah, Kedah di mana 30 ekor ayam dilaporkan mati sejak bulan lalu, menunjukkan ia negatif daripada virus H5N1.

Pengesahan ujian itu dilakukan pada 9 Jun oleh Institut Penyelidikan Haiwan (VRI) Ipoh.

Selain itu, ujian VRI terhadap dua ekor itik yang mati di Kampung Lembah Harapan, Seberang Takir, Kuala Terengganu turut mengesahkan ia negatif terhadap virus H5N1.

JPH berkata jabatan itu juga mengesan kes terbaru melibatkan kematian empat ekor ayam kacukan laga di Blok Q, Flat PKNS, Keramat di ibunegara semalam.

Bagaimanapun, ujian terhadap swab yang dihantar ke VRI jam 11 malam semalam menunjukkan ia megatif terhadap virus H5N1.