Shahrizat didakwa gagal laksana dasar kesaksamaan gender
Pergerakan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, gagal melaksanakan dasar berkaitan kesaksamaan gender yang termaktub dalam Dasar Wanita Nasional (DWN).
Pergerakan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, gagal melaksanakan dasar berkaitan kesaksamaan gender yang termaktub dalam Dasar Wanita Nasional (DWN).
"Walaupun bilangan hari ini cuti bersalin ditambah untuk memberi masa kepada para ibu pulih dan mewujudkan hubungan ibu dan anak, tetapi ia mungkin menimbulkan masalah lain bagi sesetengah pekerja wanita," kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, usaha menambahkan bilangan cuti bersalin dari 60 hari kepada 84 hari dibantah sebilangan pekerja wanita.
"Mereka melihat penambahan cuti akan mengakibatkan bertambahnya kerja mereka apabila kembali bekerja semula selepas habis cuti bersalin dan mungkin menjejaskan peluang mereka untuk naik pangkat.
"Reaksi wanita tersebut wajar diberi perhatian kerana alasan mereka adalah realiti yang mereka hadapi di tempat kerja," ujar Zuraida.
Menurut Zuraida, pekerja wanita tidak diberdayakan tetapi dikenakan tekanan untuk tunduk kepada tuntutan persekitaran dan terpaksa korbankan kesihatan dan kebajikan sendiri.
"Ketidakpekaan pihak majikan dan suasana kerja yang tidak mesra wanita jelas mempamerkan bahawa strategi dan pelan tindakan yang diletakkan oleh DWN lebih 20 tahun lalu baik sektor kerajaan mahupun bukan kerajaan telah gagal dilaksanakan.
Menurut Zuraida, antara pelan tindakan yang disarankan adalah:
Pendidikan dan latihan untuk menyedarkan pihak pentadbiran kerajaan mengenai isu wanita, begitu juga di sektor swasta;
Membasmi diskriminasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan diskriminasi.
Zuraidah turut persoalkan apakah yang telah dilakukan oleh kementerian wanita bagi meningkatkan kepekaan gender di kalangan pentadbir dan majikan.
"Apakah pencapaian sebenar kemajuan wanita di Malaysia yang telah digembar-gemburkan Datuk Seri Shahrizat kepada Majlis Bangsa Bangsa Bersatu?" soalnya lagi.

