Sekretariat AMK di semua peringkat hadapi pilihanraya
Fokus utama kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baru ialah untuk memperkemaskan jentera pergerakan itu melalui penubuhan sekretariat AMK di seluruh peringkat bagi menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Fokus utama kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baru ialah untuk memperkemaskan jentera pergerakan itu melalui penubuhan sekretariat AMK di seluruh peringkat bagi menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Berikutan itu, AMK membuat pelantikan muka lama dan muka baru dalam barisan kepimpinannya bagi sesi 2007-2010 dengan focus utamanya kepada gerak kerja pilihanraya umum ke-12.
Pengumuman mengenai pelantikan tersebut dibuat oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin selepas mesyuarat pertama kepimpinan baru angkatan tersebut Ahad lalu.
Menurut satu kenyataan, Ahmad Zaki Zamani dilantik sebagai setiausaha AMK manakala bekas ketua AMK Kelantan, Zamakhsari Ibrahim dilantik sebagai bendahari angkatan tersebut.
Pimpinan AMK Perak, S Kesavan dan juga aktivis hak asasi, Siti Altaf Deviyati Ismail dilantik sebagai penolong setiausaha AMK yang baru.
Penolong setiausaha AMK sesi lalu, Lau Teck Hai dilantik sebagai ketua penerangan. Manakala muka baru, Hidayat Saifudin dilantik sebagai timbalan ketua penerangan.
Bekas pimpinan pusat Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang juga calon naib ketua AMK, Jonson Chong turut dilantik sebagai ketua biro strategi AMK. Manakala Zulfikar Ali dilantik sebagai ketua biro pilihanraya AMK.
Lima exco lantikan ialah Nik Nazmi Nik Ahmad, T Kumar, Yap Weng Kiong, Zainuddin Awang, dan Nurin Aina Abdullah.
Kepimpinan AMK sesi 2007-2010 diterajui oleh Shamsul dengan Fariz Musa sebagai timbalan ketua. Manakala Khairul Anuar Zainuddin, Amiruddin Shari dan Tan Seng Toh dipilih perwakilan sebagai naib-naib ketua dalam pemilihan parti hujung bulan lalu.

