PARLIMEN l Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi meneruskan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang bertujuan untuk menjenayahkan tindakan menyebabkan atau menyumbang kepada pencemaran jerebu di negara ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Tan Hong Ping (Pakatan Harapan-Bakri), Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara dan pandangan pakar undang-undang menyebabkan kerajaan membuat kesimpulan bahawa akan ada kesukaran mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi tujuan pendakwaan.

Nik Nazmi Nik Ahmad

“Bagi membolehkan penguatkuasaan, bukti jelas bahawa jerebu merentas sempadan yang berlaku adalah berpunca dari negara jiran perlu disokong oleh data-data yang mencukupi seperti peta lokasi, koordinat, maklumat pemilik tanah dan syarikat yang beroperasi di lokasi kebakaran.

“Perkara ini melibatkan kerahsiaan, keselamatan dan kedaulatan negara yang menjadi punca jerebu.

“Selain itu, maklumat syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di negara luar juga sukar diperoleh memandangkan majoriti ekuiti dipegang oleh rakyat tempatan di negara syarikat beroperasi,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, pencemaran jerebu merentas sempadan tidak dapat diselesaikan hanya dengan penggubalan undang-undang semata-mata dan memerlukan pelbagai pendekatan, terutama secara diplomasi melalui rundingan dua hala dan pelbagai hala.

“Dalam hal ini, kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara holistik melalui hubungan diplomatik yang erat dan kerjasama teknikal bagi memantapkan lagi keupayaan antara negara khususnya dalam bidang kajian saintifik dan penggunaan teknologi terkini berkaitan pengurusan tanah gambut serta operasi pemadaman kebakaran,” katanya.

Pada 2014, Singapura menjadi negara pertama di rantau Asean yang menggubal undang-undang yang menjenayahkan pihak yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Bagaimanapun, belum ada sesiapa pun yang telah didakwa dan jerebu berterusan saban tahun di Singapura dan Malaysia.

Pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan supaya undang-undang menangani jerebu rentas sempadan dilaksankan tetapi tidak menjadi kenyataan.

[Baca berita penuh]