Tony Pua: JPA tawar biasiswa perubatan ke universiti tidak diiktiraf
Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua mempersoalkan mengapa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan biasiswa untuk pengajian perubatan di negara-negara yang tidak diiktiraf oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua mempersoalkan mengapa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan biasiswa untuk pengajian perubatan di negara-negara yang tidak diiktiraf oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Bagi tahun ini, katanya, JPA turut menawarkan biasiswa untuk mengikuti pengajian di universiti di Republic Czech dan Poland.
"Mengapa biasiswa itu ditawarkan sedangkan MMA belum lagi mengiktiraf ijazah perubatan dari negara-negara berkenaan," kata Pua.
"Tidakkah dasar seumpama itu akan meletakkan pelajar kita dalam kesukaran jika MMA kemudiannya memutuskan ijazah dari universiti di negara-negara berkenaan tidak mencapai standard keperluan minimum kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain Republik Czech dan Poland, katanya, JPA juga menawarkan biasiswa untuk mengikuti pengajian perubatan di Mesir, Jordan dan Indonesia.
Sehubungan itu, Pua menyentuh cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek untuk mengadakan 'peperiksaan perubatan bersatu' untuk graduan perubatan pada masa depan.
Langkah itu adalah untuk memastikan sama ada mereka memiliki "standard dan kualiti yang diperlukan untuk menjadi pengamal perubatan di negara ini" ekoran masalah kemerosotan kualiti doktor kebelakangan ini.
Sehubungan itu, Pua berkata, peperiksaan seumpama itu tidak diperlukan sekiranya kerajaan bersikap lebih berhati-hati dalam memilih kolej-kolej perubatan yang diiktiraf Negara, contohnya enam di Burma, enam di Bangladesh, sebelas di Indonesia, 14 di Pakistan, empat di Iraq dan sebuah di Uganda.

