Timbalan Ketua Penerangan Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu berhati-hati terhadap langkah beberapa ahli Parlimen PN yang menyatakan sokongan kepada kerajaan baru-baru ini.

“Saya harap agar gerakan halus daripada PN ini tidak mengaburi mata perdana menteri dalam mengukuhkan sokongan.

“Perdana menteri perlu melihat juga faktor keikhlasan dan kesetiaan dalam menilai sokongan tiga ahli parlimen itu ibarat kata pepatah ‘sudah bercerai tetapi tinggal serumah’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam seorang lagi wakil rakyat PN, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim yang menyatakan sokongan kepada Anwar

Mohd Azizi yang juga Adun Nenggiri berkata, keputusan itu untuk memastikan penduduk di kawasannya terus mendapat manfaat termasuk berhubung kemudahan infrastruktur yang telah dimohonnya sebelum ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Labuan Dr Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid - kedua-duanya dari PN - juga menyuarakan sokongan kepada Anwar.

Antara sebab yang dinyatakan mereka adalah peningkatan kos sara hidup di kawasan masing-masing.

Susulan itu, Bersatu menggantung keahlian mereka selama enam tahun.

Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata dia tidak terkejut dengan pengumuman Mohd Azizi yang menyokong perdana menteri dengan alasan demi rakyat.

“Saya berpandangan ini gerakan yang sengaja dibuat oleh PN kerana ketiga-tiga mereka hanya digantung keahlian Bersatu, bukannya dipecat untuk menghalalkan status mereka sebagai ahli parlimen tidak tergugur.

“Ini hanya 'diversion game’ untuk mendapatkan peruntukan dan projek melalui mereka sahaja," dakwanya.

Dia mendakwa peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tidak disekat tetapi peruntukan pembangunan disalurkan kepada agensi terlibat agar "melancarkan penerimaan terus kepada rakyat di bawah secara bersasar".

Terdahulu, ahli parlimen pembangkang secara konsisten mendakwa mereka belum menerima peruntukan pembangunan untuk kawasan mereka daripada kerajaan persekutuan.

Minggu lalu, Anwar meminta ahli parlimen pembangkang untuk terus mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah berhubung perkara itu.