Selepas kesetiaan dipersoal, Peja ikrar terus sokong Muhyiddin
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tampil menegaskan kesetiaannya kepada parti itu dan PN.
Penegasan itu dibuat susulan tindakan empat ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bekas ahli Parlimen Tambun itu membuat kenyataan tersebut susulan timbul khabar angin di media sosial yang mempersoalkan kesetiaannya kepada PN dan Bersatu.
“Saya ingin tegaskan kesetiaan saya kepada Muhyiddin Yassin masih utuh serta tidak berbelah bagi,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Berikrar untuk terus bekerja keras memperkukuhkan Bersatu dan PN, Faizal berkata dia tidak pernah bersekongkol dengan seteru politik mahupun menyokong kerajaan sekarang.
Bekas menteri besar Perak itu juga yakin PN dan Bersatu akan terus bergerak sebagai pembangkang yang jujur.
Faizal, yang lebih dikenali sebagai Peja, merayu kepada mereka di dalam PN dan Bersatu supaya tidak terpengaruh dengan ’khabar angin keji’ dan terus fokus dalam berkhidmat kepada rakyat.
Sambil menekankan keperluan untuk PN menjadi pembangkang yang berkesan, dia berkata Malaysia memerlukan penyelesaian kepada isu ekonomi pada masa ini.
Faizal yang tewas di tangan Anwar di kerusi Parlimen Tambun pada PRU lalu, turut menggesa pihak yang menyebarkan khabar angin tentangnya untuk memberi tumpuan kepada isu nasional.
“Perbuatan menyebar berita palsu yang menghampiri kepada fitnah jahat hanya akan merugikan, malah menambah dosa yang amat berat untuk dipikul.
“Pihak yang telah menyebar berita-berita palsu ini hanya akan merosakkan reputasi mereka sendiri. Mereka mengaku memperjuangkan parti tetapi sebenarnya telah merelakan diri menjadi alat kepada usaha melemahkan parti,” katanya lagi.
Semalam Malaysiakini melaporkan seorang lagi Ahli Parlimen Bersatu dari Jeli, Zahari Kechik menyatakan sokongan kepada Anwar.
Zahari adalah anggota parlimen keempat berbuat demikian selepas Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Seperti tiga yang lain, Zahari juga berkata langkahnya itu demi pembangunan dan bantuan untuk penduduk di kawasannya berdepan kos sara hidup.
Iskandar dan Suhaili masing-masing telah digantung selama empat dan enam tahun atas tindakan itu.
Dengan sokonga mereka, Anwar kini memiliki sokongan 150 ahli Parlimen di Dewan Rakyat, melepasi majoriti dua pertiga.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/c9748c8695880c3abbb4e861299029f8.jpg)
